Zeti nafi keluarganya terima dana 1MDB, anggap satu tuduhan fitnah

Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan keluarganya yang dikaitkan menerima dana 1MDB.

Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai palsu dan berniat jahat, Zeti, yang kini merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), berkata dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang menyiasat skandal 1MDB.

“Isu-isu yang berkaitan dengan 1MDB telah disiasat secara menyeluruh dan teliti oleh pihak berwajib, iaitu BNM, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan memberikan polis dan SPRM semua maklumat yang diperlukan berkaitan dengan siasatan rasmi mengenai 1MDB dan bekas perdana menteri (Najib Razak),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zeti berkata dia tidak dapat membuat kenyataan lanjut kerana berpotensi dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan membabitkan Najib yang sedang berlangsung di mahkamah.

“Oleh itu, pada pandangan saya akan mengganggu perbicaraan yang sedang berlangsung dan berpotensi menjadi subjudis bagi saya untuk membuat kenyataan pada masa ini,” katanya.

Zeti sekali lagi menegaskan bahawa dia dan keluarganya tidak pernah menerima sejumlah wang daripada 1MDB.

Kenyataannya itu dibuat selepas ketua pembangkang Anwar Ibrahim hari ini meminta Zeti menjelaskan tuduhan terhadapnya dan keluarganya oleh blogger Raja Petra Kamaruddin.

Raja Petra baru-baru ini mendakwa keluarga Zeti menerima dana dari ahli perniagaan Low Taek Jho susulan pengeluaran bon oleh Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), yang merupakan pendahulu 1MDB.

Zeti pada masa itu merupakan Gabenor BNM manakala Low adalah dalang utama penyelewengan dana 1MDB, yang dilakukan menerusi pengubahan wang haram di beberapa negara.

Zeti pada Julai 2018 berkata dia tidak tahu menahu mengenai berbilion ringgit dalam akaun bank bekas perdana menteri, Najib Razak.

Najib pada Julai lalu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung penyelewengan dana yang dikaitkan dengan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Dia juga menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557223

COMMENTS

Wordpress (0)