Zahid seperti tiada halatuju, tidak jelas mahu bawa Umno kemana – Penganalisis

Zahid seperti tiada halatuju, tidak jelas mahu bawa Umno kemana – Penganalisis

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini disifatkan masih bingung dan tiada arah dalam menafsir corak pimpinannya sendiri kepada parti.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, Ahmad Zahid juga seakan-akan bingung dengan konsep jajaran serta pergerakan politik parti itu sendiri pada masa hadapan.

“Kalau hendak melihat kepada apa yang dibuat Perikatan Nasional (PN) dalam merancang, merencana strategi atau perancangan serta mengadakan persiapan berhadapan Piihan Raya Umum (PRU), kita kena akui PN berada di depan.

“Kita hendak lihat gerak kerja atau strategi UMNO, hari ini kita lihat bahawa UMNO sedang berhadapan krisis identiti.

“Kita lihat dalam UMNO ada golongan terbuka menyatakan bahawa mereka sedia bergerak solo, ada golongan yang mahu jalinkan kerjasama dengan parti di dalam PN dan ada satu pihak lagi diam-diam memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan PKR,” katanya semasa dihubungi pada Isnin.

Dr Achmad Dzariean berkata demikian ketika mengulas pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Selangor baru-baru ini.

Pengerusi BPN PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mengumumkan pembentukan struktur organisasinya untuk menjana kekuatan baharu dan memperkukuhkan keyakinan rakyat.

Menurutnya, PN Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti komponennya untuk mewakili kerencaman masyarakat dan kepelbagaian budaya di negeri berkenaan.

Dalam pada itu kata Dr Achmad Dzariean, apabila keadaan ini berlaku, UMNO membutikan mereka berhadapan krisis identiti.

“Pada ketika ini kita tidak tahu apa yang UMNO mahukan, adakah mereka hendak menjalinkan kerjasama parti dengan PN, bergerak solo atau menjalinkan kerjasama bersama PKR dan DAP?

“Sungguhpun kita tahu ada usul untuk Perhimpunan Agung UMNO iaitu tiada kerjasama dengan PKR dan DAP tetapi parti kena mengambil kira pandangan Ahmad Zahid, UMNO perlu jajaran politik baharu.

“Namun kita tidak tahu apa maksudnya, adakah Ahmad Zahid hendak DAP, PKR atau bergerak dengan parti di dalam PN atau solo?

“Apakah sebenarnya jajaran politik baharu ini, kita tidak nampak mereka bersedia hendak berhadapan pada PRU akan datang,” tegasnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/ahmad-zahid-tiada-arah-masih-bingung-pimpin-umno-penganalisis-283052