Zahid harap menteri KPT tangani isu ‘Sugar baby’

Zahid harap menteri KPT tangani isu ‘Sugar baby’

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bimbang dengan laporan mendakwa Malaysia berada pada kedudukan tertinggi Asia bagi mahasiswa mendapatkan ‘sugar daddy’.

“Mungkin disebabkan desakan hidup dan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 punca utama mahasiswa terbabit bertindak sedemikian,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

Menurut presiden Umno ia bukan saja memperlihatkan keruntuhan moral, malah bertentangan dengan hukum syarak bagi mereka yang beragama Islam.

“Saya tidak berhasrat mencari salah sesiapa dalam soal ini kerana yang paling utama menyelamatkan generasi masa depan negara ini.

“Namun laporan media menyebut peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran mahasiswa mencari ‘sugar daddy’ berlaku selepas PKP 1.0, PKPB, PKPP dan PKP 2.O.

“Oleh itu, saya berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna perkara ini dan saya sendiri akan berkomunikasi dengan (Menterinya) Dr Noraini Ahmad,” katanya lagi.

Zahid berkata dia berharap pihak berkuasa agama dapat menyiasat dan menyelamatkan bagi pelajar yang beragama Islam.

“Jika benar disebabkan desakan wang, JAKIM, Jabatan Agama Islam negeri, pusat zakat dan baitulmal mungkin boleh menyalurkan bantuan kewangan.

“Bantu mahasiswa dan jangan biarkan mereka hanyut,” katanya lagi.

Isu pelajar IPTA dan IPTS menjadi ‘sugar baby’ timbul susulan dakwaan aplikasi ‘dating’ atas talian, Sugarbook yang diasaskan di Malaysia dikatakan menghubungi “sugar daddy” atau “sugar mommy” dengan “sugar baby” di seluruh Asia.

“Sugar daddy” atau “sugar mommy” biasanya merupakan lelaki atau perempuan yang berusia yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda – “sugar baby” – sebagai pertukaran kepada perhubungan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562886