Xavier sokong PN, Saifuddin Abdullah minta jangan komen ‘tajam’ sangat

Xavier sokong PN, Saifuddin Abdullah minta jangan komen ‘tajam’ sangat

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah menasihatkan pihak tertentu agar tidak terlalu ghairah dalam menyuarakan pendapat berhubung sokongan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, rakyat sudah matang dalam menilai tindak tanduk ahli Parlimen.

“Ini semua olahan politik. Jangan kita terlalu ‘tajam’ apabila membuat komen mengenai orang (lain),” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Lambang-Lambang Kebesaran Negara dan kad laporan setahun KKMM pada Selasa.

Beliau berkata, pelbagai perkara boleh berlaku dalam dunia politik.

“Ada masanya saya lihat apabila orang tinggalkan parti, masuk parti dia, dia okay tetapi bila keluar parti dia sokong parti orang lain, tak okay, jadi tak payahlah tajam sangat.

“Apabila masuk parti dia bagus belaka, manis belaka, bila keluar parti dia sokong orang lain, guna label yang terlalu kuat,” katanya.

Saifuddin berkata, Xavier tidak menyertai mana-mana parti politik PN sebaliknya menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Itu pendirian dia. Pada saya, kita hormatilah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan sokongan Xavier terhadap PN disebabkan tekanan politik.

Ahad lalu, Xavier mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan keluar daripada parti itu serta-merta untuk menyatakan sokongan kepada PN.

Tindakannya mengundang pelbagai reaksi selepas bekas Menteri Air Tanah dan Sumber Asli dikaitkan dengan pegawai dan kenalannya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Ia dipercayai berkaitan rasuah berhubung penganugerahan projek pasir di bawah bidang kuasa Xavier.

Sebanyak RM1.2 juta wang tunai disita dan RM77 juta di dalam akaun dibekukan serta beberapa buah kereta mewah turut dirampas.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/128758/BERITA/Politik/Tidak-perlulah-komen-tajam-kata-Saifuddin