Wee Ka Siong jangka Syarikat penerbangan rugi RM10.9 bilion tahun ini

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata syarikat penerbangan mungkin kerugian kira-kira RM10.9 bilion tahun ini, sebahagian besar akibat impak pandemik Covid-19 ke atas penerbangan di seluruh dunia.

Katanya, pengendali lapangan terbang turut mengunjurkan kerugian sekitar RM2.1 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Beliau berkata, secara keseluruhan 169,728 penerbangan dibatalkan untuk Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air, menjejaskan lebih 4 juta penumpang.

Katanya, 1.2 juta penumpang memilih menangguhkan penerbangan mereka, manakala 1.9 juta memilih untuk mendapatkan bayaran balik dalam bentuk nota kredit berjumlah hampir RM125 juta.

Kira-kira 628,000 penumpang memilih bayaran balik tunai, yang berjumlah RM400 juta untuk semua syarikat penerbangan. Malaysia Airlines membayar RM294 juta kepada 190,000 pelanggannya.

Wee berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membantu penumpang terbabit dengan meminta syarikat penerbangan membuat bayaran balik berdasarkan setiap kes.

Mengenai isu tambang mahal bagi penerbangan domestik, Wee berkata, semua syarikat penerbangan diminta membantu, tetapi beliau mengulangi Putrajaya tidak mengawal harga tiket, sebaliknya terpulang kepada pasaran untuk menentukannya.

“Saya sudah arahkan Mavcom untuk pantau. Sudah ada trend penurunan dalam harga.”

Beliau menasihatkan orang ramai tidak menempah tiket pada saat akhir dan bagi musim puncak seperti cuti sekolah dan perayaan, ini akan membantu menurunkan harga.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/21/syarikat-penerbangan-mungkin-rugi-rm10-9-bilion-tahun-ini-kata-menteri/