Lewat petang kelmarin saya menerima satu kiriman posting yang dimuat turun daripada laman twitter Timbalan Menteri KPWKM.
Saya boleh berikan beliau satu bintang untuk usaha yang baik ini. Dengan musik latar yang bisa menyentuh hati, iyya.. mungkin emosi yang tidak puas hati oleh sebahagian pihak itu boleh dilunakkan dengan terselitnya musik itu. Walaupun barangkali agak jauh daripada yang kita harapkan atas kapasitinya sebagai seorang Timbalan Menteri untuk semua.
Saya faham dengan banyak kekecewaan dan kritikan yang telah dilontarkan sejak semalam oleh rakan-rakan pimpinan dan khususnya NGO Wanita di seluruh negara.
Saya juga faham jika isi bicaranya tidak upaya menjawab pelbagai persoalan yang berlegar di kalangan kami dan aktivis-aktivis pertubuhan wanita.
*Apa yang diharapkan?*
Saya percaya, sejak awal pertanyaan, cadangan dan pandangan kita adalah jelas. Iaitu Wanita Malaysia mahu tahu apakah perancangan Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM bagi membantu kumpulan sosial terbesar negara iaitu Wanita & Kanak-kanak kesan daripada pandemik Covid-19 dan langkah penguatkuasaan PKP.
Pertanyaan itu ringkas, tetapi jawapannya perlu secara urus tadbir dan perencanaan kolektif kementerian bagi sebuah negara. Ia bukan slot siaran TV “Tanyalah Ustazah” atau Motivasi Petang dengan tajuk “Tips Anger Management, Mengurus Kemarahan”.
Saya tidak berniat langsung memperkecil-kecilkan usahanya, tetapi mahu menyebut bahawa topik dan isu sebenar yang ditanya oleh kita para wanita itu adalah besar dan “real”.
Wanita dan Kanak-Kanak adalah kelompok yang sangat terdedah kepada penyalahgunaan kedudukan dan kekerasan. Itu fakta yang diterima dan diakui oleh seluruh dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Oleh sebab itulah Wanita dan Kanak-kanak termasuk menjadi salah satu fokus penting dalam 17 Matlamat Pembangunan Mapan (SDG’s).
Makanya kelompok ini jadi perhatian kita khususnya yang menjadi pelanggan-pelanggan kepada perkhidmatan KPWKM itu sendiri. Makanya juga tolong dengar dan perhatian serta respon yang wajar, bertanggungjawab, berfakta, berhalatuju jelas itu sangat diperlukan. Bukan hanya ucapan-ucapan berbentuk motivasi biasa yang sesiapapun tanda kedudukan sebagai seorang Timbalan Menteri boleh buat dan berikan!
Pandemik Covid-19 itu sendiri memberi kesan domino kepada setiap keluarga, khususnya daripada sudut kewangan. Walaupun kewangan bukan segala-galanya, tetapi dunia pada hari ini meletakkan segala-galanya perlu kepada wang.
Pada masa yang sama PKP itu sendiri juga telah meninggalkan pelbagai kesan psikologi yang bukan sedikit. Baik kepada mereka yang punya kehidupan dan perlakuan normal dalam sesebuah keluarga, apatah lagi kepada mereka yang sebaliknya.
Wanita Malaysia mahu tahu apa usaha KPWKM pada masa sekarang, dan seterusnya perancangan ke hadapan susulan daripada peristiwa yang ada pada hari ini. Justeru kerana kita melihat implikasi pandemik ini adalah besar dan menyeluruh dan terkesan untuk jangkamasa yang lebih panjang.
Sama ada kita berjaya menguruskannya dengan baik, objektif, konstruktif dan efektif adalah sangat bergantung kepada usaha-usaha kita pada saat ini. Tidak terkecuali semua yang tidak putus asa bertanya, membuat teguran dan memberi pandangan kepada KPWKM juga adalah menyumbang kepada usaha tersebut. Oleh sebab itu, dengar dan beri perhatian wajar.
Kita tidak mampu untuk menerima sebarang kesilapan dan kegagalan akibat kecuaian dan kelewatan bertindak. Ia sangat tidak baik untuk rakyat dan negara kita.
*Adakah Kemarahan itu sama dengan Penderaan ?*
Ramai sering keliru saat memaknakan perbezaan antara kemarahan dengan penderaan yakni salahguna kedudukan (peranan) seseorang dalam institusi rumahtangganya.
Setiap daripada wanita yang terdidik mesti memahami beza di antara marah yang masih terkawal (anger), kemarahan yang membawa kepada “extreme expressions” (rage), dan kemarahan yang membawa kepada tindak balas fizikal seperti memukul (battering) dan seumpamanya.
Itupun tidak berhenti di situ sahaja, kerana di luar sana ada ramai yang memang seronok dan terhibur apabila mereka percaya mereka berkuasa dan boleh mengawal seseorang agar tunduk dan patuh kepadanya tanpa syarat. Apa lagi jika mereka itu adalah seorang yang dinamakan sebagai “ketua keluarga”.
Itulah antara cara kerajaan dan masyarakat sivil di seluruh dunia memperkasakan wanita. Mendidik dan mendedahkan mereka kepada fakta dan beda agar wanita tahu, kenal dan faham akan batasan perlakuan sesiapapun hatta oleh seorang suami yang sah ke atas mereka, sama ada itu satu kemarahan ataupun sebenarnya satu penderaan. Sama ada itu suatu yang baik atau sebaliknya merosakkan.
Ia bagi memastikan maruah dan hak setiap wanita dan kanak-kanak sebagai manusia setara yang dijamin oleh undang-undang dan peraturan diberi perhatian sekaligus kedudukan wajar.
Bersikap baik dan terpuji kepada ahli keluarga ini juga adalah selari dengan ajaran Islam. RasululLah saw bersabda :
خيركم خيركم لأهله، وأنا خيركم لأهلي
“Sebaik-baik kalian adalah yang terbaik sikapnya terhadap keluarga. Dan aku adalah yang terbaik di antara kalian terhadap keluargaku.” (HR Ibnu Majah).
Adalah amat penting untuk pihak berkuasa dan mana-mana individu yang memegang jawatan penting dalam kerajaan sendiri memahami nature dan ciri-ciri Keganasan Rumah Tangga ini. Ia hakikatnya adalah seputar Kuasa Dan Kawalan (Power & Control), melibatkan pelbagai aspek dan cabang yang lebih rencam.
Seperti contoh, terdapat kes yang melibatkan Lelaki yang berperwatakan baik pada pandangan mata kasar kita, lemah lembut dan penyayang di hadapan semua orang, tidak semestinya itulah wajah sebenar mereka di dalam rumah. Adakalanya mereka itulah lazimnya yang bepotensi menjadi pendera dan berjaya menutup mulut mangsa-mangsa mereka. Menjadikan isu keganasan rumah tangga ini sebenarnya tidak semudah itu difahami dan dimengerti dalam keadaan manusia yang normal. Lebih banyak dapatan daripada pelbagai kajian berkaitannya adalah sangat mengejutkan. Makanya, perhatian dan ketelitian lebih itu sangat-sangat diperlukan.
*Realiti Seluruh Dunia Hari Ini*
Rata-rata di seluruh dunia, peningkatan keganasan rumah tangga telah dilaporkan sejak wabak pandemik koronavirus dan penguatkuasaan langkah PKP dan lockdown.
China, Sepanyol, Jerman, Perancis, Kanada dan Australia misalnya adalah antara negara-negara di mana bilangan laporan telah berkembang.
Jawatankuasa Parlimen Itali misalnya melaporkan walaupun jumlah panggilan ke Hotline Keganasan Domestik Nasional turun 55% pada minggu 8-15 Mac (berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019), ini tidak bermakna telah berlaku penurunan kes penderaan rumah tangga. Tetapi ini hanya bermaksud bahawa beberapa mangsa tidak dapat menghubungi hotline tanpa dapat dikesan oleh “pendera” mereka kerana tindakan kuarantin “stay at home” yang sedang berjalan.
Manakala di Perancis, laporan mengenai keganasan rumah tangga telah meningkat sekitar 30% sejak pemerintah mengumumkan lockdown susulan Covid-19. Peranchis juga memperkenalkan sistem dan kaedah “coding” untuk memungkinkan wanita melaporkan penderaan ke atas mereka kepada pihak berkuasa.
Kerajaan Perancis juga baru-baru ini telah mengumumkan bahawa ia telah menempah 20,000 bilik hotel untuk mangsa keganasan rumah tangga dan ia telah menubuhkan Pusat Kaunseling di beberapa hab membeli-belah.
Difahamkan Sepanyol juga telah menggunakan beberapa langkah yang serupa.
Seterusnya di Kanada, Perdana Menteri Justin Trudeau telah memperuntukkan berjuta-juta dolar untuk menyokong NGO Wanita, tempat perlindungan dan pusat serangan seksual di seluruh Kanada.
Australia mengumumkan peningkatan dana US$100 juta ( € 91 juta) pada 19 Mac untuk menangani keganasan rumah tangga, yang akan dibelanjakan untuk perkhidmatan sokongan telefon.
Di Indonesia pula, Institut Bantuan Guaman Persatuan Wanita Indonesia (LBH APIK) juga melaporkan peningkatan dalam “caseload”nya iaitu tiga kali ganda dalam kes rujukan dari Suruhanjaya Kebangsaan Keganasan Terhadap Wanita (Komnas Perempuan) sejak dua minggu lalu.
Di Singapura, talian bantuan wanita Persatuan Wanita untuk Tindakan dan Penyelidikan (AWARE) menyaksikan kenaikan 33% panggilan yang berkaitan dengan keganasan keluarga pada bulan Februari berbanding tempoh yang sama tahun lepas-berbeza dengan data negara yang menunjukkan penurunan dalam kes 2016 hingga 2019.
Malaysia sendiri telah dilaporkan berlaku peningkatan panggilan ke Talian Kasih 15999.
Dengan sekatan pergerakan dan program berskala besar “DudukRumah”, mungkin lebih berbahaya bagi mangsa yang terselamat untuk mencari pertolongan kerana mereka terjebak di rumah dengan “pendera” masing-masing.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada tiga wanita di seluruh dunia mengalami keganasan fizikal atau seksual, kebanyakannya oleh pasangan intim.
Statistik juga menunjukkan bahawa keganasan rumah tangga adalah yang paling meluas, tetapi juga yang paling kurang dilaporkan di kalangan penyalahgunaan hak asasi.
Korban keganasan rumah tangga mengalami pelbagai kesan ke atas kesihatan fizikal, mental dan emosi yang serius yang sekaligus memerlukan tindak balas rawatan dan kaunseling yang sangat mendesak. Ini termasuk perkhidmatan kecemasan, penilaian psikologi dan sokongan jangka panjang.
Semasa tempoh PKP, individu yang tidak dapat bekerja mungkin juga menjadi lebih bergantung kewangan kepada rakan kongsi mereka, menjadikannya lebih sukar untuk meninggalkan persekitaran yang tidak selamat untuk mereka.
Statistik juga menunjukkan bahawa semasa krisis, beban aktiviti rumah tangga dan menjaga anak-anak dan orang sakit jatuh secara tidak proporsional kepada wanita dan anak perempuan, sehingga memaksa beberapa orang meninggalkan pekerjaan mereka untuk memberikan tumpuan kepada urusan dalam rumah semata-mata. Bermaksud, “bekerja dari rumah” itu nantinya akan hanya tinggal “bekerja uruskan rumah tangga”. Seterusnya mengheret wanita bekerjaya kepada konflik pekerjaan.
Rumusan daripada beberapa kajian termasuk oleh Forum Ekonomi Dunia juga menyebut bahawa Wanita dan Kanak-kanak adalah kelompok yang paling menerima kesan daripada pandemik Covid 19 dan langkah lockdown/PKP.
Makanya, Malaysia tidak wajar terkecuali daripada memberikan perhatian wajar hanya kerana PM8 meminta kepada kita semua untuk memberikan Menteri dan Timbalan Menteri Wanita ini peluang belajar menjalankan tugas dengan baik. Masalah di hadapan kita adalah “real and crucial”, bukan cobaan atau latihan pandu uji kenderaan baharu.
Justeru, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan khususnya menerusi KPWKM agar menimbangkan beberapa perkara berikut :
KPWKM segera mewujudkan SOP yang jelas darihal bagaimana keganasan rumah tangga harus ditangani dalam tempoh PKP dikuatkuasakan. Ini mencakupi semua pihak, peringkat dan perkara yang harus terlibat.
Menyediakan Premis Perlindungan Sementara kepada mangsa sepertimana langkah Peranchis, dan urusan ini dikategorikan sebagai sebahagian daripada Essential Service sepanjang tempoh PKP.
Memastikan adanya Sumber-sumber yang Mencukupi agar pihak berkuasa kerajaan upaya memberi respon segera serta tindakan kecemasan yang berkesan semasa PKP dilaksanakan.
Memperbaiki dan Mempermudahkan Akses mangsa kepada pelaporan sekiranya berlaku kecemasan berkaitan keganasan rumahtangga. Kaedah coding yang digunakan di beberapa negara luar misalnya mungkin boleh dilaksanakan.
Memastikan setiap survivor menerima Bantuan Prihatin yang sewajarnya.
Salam Hormat!
HJH AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ahli Dewan Negara Malaysia
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara
Kuala Lumpur,
11 April 2020/ 17 Sya’aban 1441H
Sumber :