Wanita kerja ‘gomen’ pening fikir hutang rumah suami suruh isteri jaga anak je tapi dalam masa yang sama

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Bagi setiap wanita yang bergelar ibu dan berkerjaya, salah satu cabaran terbesar adalah terpaksa meninggalkan anak di taska atau bersama pengasuh.

Dengan semakin banyaknya laporan mengenai kes penderaan bayi, para ibu sering kali berhadapan dengan dilema antara memenuhi tuntutan kerja dan menjaga keluarga.

Situasi ini turut dihadapi oleh seorang wanita yang terpaksa membuat keputusan besar melibatkan dua perkara penting dalam hidupnya.

“Saya seorang ibu bekerja dan mempunyai seorang anak berusia enam bulan. Sebelum ini, ibu mentua yang menjaga anak saya.

Namun, sejak kebelakangan ini, kesihatannya semakin merosot. Suami terpaksa mengambil cuti buat sementara untuk menjaga anak,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Wanita kerja ‘gomen’ pening fikir hutang rumah suami suruh isteri jaga anak je tapi dalam masa yang sama

Pasangan suami isteri perlu berkomunikasi dan berbincang apabila melibatkan soal anak. – Gambar hiasan.

Wanita tersebut menjelaskan bahawa pendekatan itu dipersetujui oleh suaminya, dan mereka berdua sama-sama memahami situasi tersebut. Namun, masalah mula timbul apabila dia mencadangkan untuk menghantar anak mereka ke taska.

“Suami saya layan saya dengan baik, dan selalu membantu di rumah. Tetapi apabila saya mencadangkan untuk menghantar anak ke taska atau pengasuh, dia akan marah dan kami akan bergaduh. Dia suruh saya berhenti kerja. Saya bekerja di sektor kerajaan, manakala suami bekerja di kilang,” ceritanya.

Tambah wanita itu lagi, dia berasa keberatan untuk mengikut cadangan suaminya kerana bimbang ia akan memberi kesan besar kepada kewangan keluarga mereka dalam jangka panjang.

“Kalau saya berhenti kerja, rasanya seperti satu kerugian besar sebab gaji suami mungkin tak cukup untuk menanggung hutang rumah dan dua buah kereta setiap bulan. Sebelum ini, kami berkongsi membayar semua hutang. Adakah suami patut berhenti kerja dan menjaga anak?” soalnya meminta pandangan dari warga maya.

Menjengah ke ruangan komen, netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap situasi yang dialaminya. Kebanyakan mereka menasihatkan agar wanita tersebut tidak berhenti kerja dan mencari penyelesaian lain yang lebih seimbang antara kerjaya dan keluarga.

“Jangan berhenti kerja. Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Carilah pengasuh yang baik dan berdoa agar dipertemukan dengan pengasuh yang ikhlas. Suami mungkin pandai bercakap saja, tapi bila tak ada duit nanti, lagi susah. Hidup ini keras,” ujar seorang netizen.

“Saya pun pernah disuruh berhenti kerja oleh suami. Tapi tak lama kemudian, suami diuji dalam pekerjaannya dan duit tak cukup. Nasib baik saya tak berhenti kerja,” kata seorang lagi.

“Bincang soal anak saja dah mengamuk. Kalau puan berhenti, lama-lama nanti puan yang makan hati,” tambah seorang lagi netizen, menasihati wanita tersebut agar berfikir panjang sebelum membuat keputusan.

BACA: “Aku sendiri yang terbaca wasap bekas kekasih hantar kat isteri aku, kenapa dia diamkan? Aku tunggu je bini aku sound”