Wanita dicekup jual tiket konsert yang tak pernah wujud

Wanita dicekup jual tiket konsert yang tak pernah wujud. Seorang wanita ditahan disyaki melakukan penipuan penjualan tiket konsert tidak wujud membabitkan lima penyanyi popular dalam dan luar negara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 48 tahun dibuat ekoran aduan dibuat dua penyanyi termasuk seorang artis wanita, Selasa lalu.

Katanya, perkara itu terbongkar selepas penyanyi lelaki berusia 53 tahun menerima maklumat daripada seorang rakan berhubung satu hantaran dalam Facebook berhubung satu konsert dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Februari tahun depan.

“Suspek menawarkan penjualan tiket konsert berharga antara RM199 hingga RM649.

“Dua penyanyi berkenaan menafikan menerima tawaran atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wanita dicekup jual tiket konsert yang tak pernah wujud

Mohamad Farouk berkata, susulan aduan diterima, pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan suspek pada jam 10.40 malam di Klang, Selangor, kelmarin.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau, dengan salah satunya membabitkan kes penipuan.

“Suspek kini direman tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, polis memohon orang ramai yang sudah membuat pembelian tiket konsert tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Mereka diminta berhubung dengan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Ampang Jaya di talian 03-42952222 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

BH difahamkan, dua penyanyi yang tampil membuat aduan berkaitan kes itu adalah vokalis otai, Datuk Awie dan penyanyi dan pelakon, Erra Fazira.

Tiga lagi penyanyi tersohor yang didakwa turut mengadakan persembahan dalam Konsert ‘Unplugged Living Legend’ itu adalah Ziana Zain, Ella dan vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dani.

Konsert berkenaan dijangka diadakan di Grand Ballroom Magelan, Sutera Harbour, Kota Kinabalu, Sabah.

Baca Juga :
Cucu Mat Kilau masuk gelanggang politik cuba nasib
Mona Allen kini berhijrah, “tak perlu umum dah pakai tudung pun” – Pekin
Yusuf Bahrin bawa Zizi pergi kerja sekali untuk elak cemburu