Keluarga Malaysia : Wanita Amanah tuntut kerjasama yang jujur

Wanita Amanah tuntut kerjasama yang jujur. Ketidakstabilan politik negara yang berterusan berlaku adalah berpunca daripada kegagalan pihak-pihak yang kalah untuk menerima keputusan majoriti pengundi yang telah menolak mereka dalam pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ia diburukkan lagi dengan usaha pembangkang selepas itu untuk memancing minat pihak-pihak tertentu untuk berkhianat dan menumbangkan kerajaan sah yang diangkat rakyat.

Kerakusan merampas kuasa TANPA melalui proses dan sistem demokrasi berpilihan raya yang seterusnya iaitu PRU15, telah mengakibatkan negara bertukar Perdana Menteri sebanyak dua kali.

Semua ini didalangi oleh pihak yang sama iaitu yang KALAH dalam PRU14 dan yang telah berKHIANAT menumbangkan kerajaan sendiri semata-mata untuk merebut jawatan Perdana Menteri ke-8.

Berdasarkan dinamika semasa jika tidak terkawal, Malaysia berkemungkinan akan menyaksikan pertukaran Perdana Menteri buat kali ketiga, kerana yang gagal menerima keputusan mandat rakyat PRU14 itu masih terus galak memainkan jarum-jarum politik pecah dan perintah mereka yang jelas sangat merugikan negara dan rakyat.

wanita amanah

Kami menyeru agar Pakatan Harapan (PH) terus kekal sepakat membawa agenda pembaharuan negara dalam posisi yang kita ada sekarang, meskipun dibadai kesan segala pengkhianatan dan rampasan mandat rakyat.

PH tidak perlu terlibat dalam perseteruan yang memuncak di kalangan parti-parti KALAH dan KHIANAT ini.

Kami yakin dan percaya rakyat boleh melihat pergelutan antara mereka, sekaligus menilai prinsip, kejujuran dan keutamaan parti-parti yang ada, samada sejujurnya untuk rakyat atau sebaliknya kepentingan politik kepartaian masing-masing.

PH perlu terus berperanan secara aktif dan berkesan untuk menjalankan fungsi semak imbang dan tatakelola yang betul bagi setiap keputusan, dasar-dasar dan tindakan-tindakan kerajaan.

Memanglah suatu yang amat malang untuk Malaysia bilamana sebuah kerajaan cuba dibina oleh 114 orang Ahli Parlimen daripada parti-parti yang Kalah dan Khianat, mengakibatkan seluruh rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa tidak akan wujud kestabilan politik yang sebenarnya pada masa ini.

Hal ini menjadikan kewajaran untuk kerajaan yang ada sekarang segera melaksanakan tanggungjawab membentang satu Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, agar segala peristiwa tidak demokratik ini tidak akan berulang lagi.

Ia sudah lebih daripada cukup untuk memporak perandakan negara daripada segenap sudut politik, ekonomi, sosial dan hubungan luar.

PH perlu berjiwa besar dan mengambil tanggungjawab dengan semangat negarawan untuk menghentikan polemik kerajaan baharu, dengan fokus kepada membantu menjayakan program vaksinasi dan amalan disiplin SOP yang ketat, agar Malaysia segera keluar daripada pandemik yang bukan sahaja telah merampas nyawa rakyat, bahkan telah merampas hak asasi manusia dan merosakkan sistem demokrasi negara.

Tumpuan perlu diberikan agar Malaysia dan negeri-negeri di seluruh negara segera mencapai imuniti berkelompok dengan memperluaskan agenda “Merakyatkan Vaksinasi”.

Vaksin harus datang kepada rakyat, sementelah model rakyat mencari vaksin adalah tidak progresif, bahkan ketinggalan dan kurang berkesan.

Sehubungan ini, kami ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen dan ahli serta penyokong Pakatan Harapan yang telah giat membantu menjayakan program vaksinasi negara khususnya di setiap konstituensi yang PH wakili.

Komitmen tersebut membuktikan kematangan dan kefahaman kita darihal keutamaan untuk negara dan rakyat, pada saat parti-parti pemerintah terus bergelut jatuh menjatuhkan sesama mereka.

Akhirnya, kami ingin mengucapkan selamat menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ke-9 kepada YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. Kami menyambut baik semangat “Keluarga Malaysia” yang beliau iltizamkan sepertimana yang telah diucapkan dalam Perutusan pertamanya sebagai Perdana Menteri.

Harapan kami agar beliau dapat menterjemahkan iltizam ini secara jujur, holistik, rentas kaum dan fahaman politik, dengan kesungguhan memposisikan diri sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk semua rakyat, tidak hanya tinggal sebagai satu slogan kosong tidak terisi.

Perpaduan kaum perlu menjadi keutamaan penting mengisi iltizam “Keluarga Malaysia” ini.

PM9 perlu sedar dan insaf bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri juga hakikatnya tidak stabil, malah sangat terdedah kepada pelbagai bentuk kacau ganggu dan ugutan daripada dalaman kerajaannya sendiri.

Justeru, YAB Dato Seri Ismail Sabri perlu menjalinkan kesefahaman dan kerjasama yang lebih jujur dengan semua pihak termasuklah Ahli-ahli Parlimen pembangkang. Jangan ulangi tindakan Pagoh yang hanya bertindak ibarat pepatah melayu “sudah terhantuk baru terngadah”.

Tiada keperluan untuk PM9 membentuk sebuah kabinet yang besar tetapi gagal berfungsi sepertimana sebelum ini. Mana-mana Menteri dan Timbalan Menteri yang jelas gagal menjalankan fungsi mereka sebelum ini wajib tidak diangkat semula, mengulangi pelantikan mereka adalah sebuah manifestasi kegagalan yang awal.

Kabinet Malaysia perlu dibentuk mengikut keperluan, keutamaan dan keupayaan setiap anggota yang dilantik, bukan sebaliknya dengan budaya serta keperluan balas budi.

Tindakan dan keputusan seperti ini adalah tidak “sustainable”, bahkan satu lagi pengkhianatan terhadap rakyat susah dan derita di bawah akibat kegagalan fungsi para menteri di atas.

PM9 juga diharap dapat memberikan tumpuan kepada segala usaha pemulihan ekonomi, kesejahteraan sosial rakyat dan kelangsungan pendidikan negara.

Kebijakan menguruskan semua Ahli Parlimen samada di pihak kerajaan, mahupun di pihak pembangkang dengan menjadikan mereka sebagai “rakan strategik” yang berkesan dan dihormati sejujurnya adalah ramuan politik baharu yang Malaysia perlukan dan dambakan pada hari ini.

Ini selari dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA yang jelas menekankan “yang menang tidak dapat semua, yang kalah tidak hilang semua”.

Selamat menjalankan tanggungjawab!

SENATOR HJH RAJ MUNNI @ AIMAN ATHIRAH SABU
Ahli Dewan Negara/
Setiausaha Kehormat
Majlis Senator Malaysia

Sumber:

BACA: Ucapan sulung Ismail Sabri kurang Umph…

Artikel ini disiarkan pada 23/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)