Walaupun diselubungi kontroversi JASA, peruntukan KKMM tetap lulus

Peruntukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di bawah Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa sekali lagi berjaya melepasi bantahan pembangkang apabila ia diluluskan melalui undian belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, Ahli Parlimen tidak bersetuju adalah seramai 100 orang, berbanding 107 yang bersetuju apabila RUU itu diundi.

“13 tidak hadir,” katanya ketika mengumumkan hasil undian.

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong usul supaya peruntukan bagi kementerian itu diputuskan menerusi kaedah itu.

Terdahulu perbahasan berhubung peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mencetuskan pendebatan hangat antara pembangkang berikutan dakwan ia diberikan untuk tujuan propaganda.

Sebelum dibahaskan di peringkat jawatankuasa, Dewan Rakyat turut membahaskan dan menolak usul pembangkang untuk memotong keseluruhan peruntukan asal kepada JASA atau J-Kom sebanyak RM85.5 juta melalui undian suara.

Penggulungan perbahasan usul oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah panas seketika apabila Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, penubuhan J-Kom akan dapat membela nasib beratus-ratus orang kakitangan JASA yang dibuang “dengan zalim” semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Jangan main tuduh! Kamu ada dalam Kabinet, malulah sikit, tak malu khianat ke?,”kata RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangkit menempelak bekas menteri luar itu.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) mencelah dengan berkata, beberapa agensi sudah pun mempunyai unit komunikasi mereka sendiri justeru menyebabkan pertindihan tugas dengan JASA atau J-Kom.

Beliau berkata, “kandungan buruk” tidak dapat diselamatkan dengan apa juga penjenamaan semula.

“Yang bercakap ini bekas timbalan menteri, patutlah kerajaan (PH) tak lama,” kata Saifuddin merujuk kepada Hannah menyebabkan Rayer bangkit mencelah.

Dalam pada itu, kerajaan bersetuju mengurangkan 50% peruntukan kepada JASA yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) daripada RM85.5 juta kepada RM40.5 juta, selain membuka peluang pekerjaan kepada 500 kakitangan kontrak.

KKMM merupakan kementerian ke-22 yang diluluskan peruntukannya oleh Dewan Rakyat, di sebalik tindakan pembangkang mempersoalkan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

KKMM diperuntukan sebanyak RM2.39 bilion dalam Belanjawan 2021, iaitu RM1.24 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.15 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/10/107-sokong-lulus-peruntukan-kementerian-komunikasi-di-sebalik-kontroversi-jasa/

COMMENTS

Wordpress (0)