Wahai lebai, keluarlah dari zon malas membaca dan berfikir

Wahai lebai, keluarlah dari zon malas membaca dan berfikir

Ada dua benda yang lebai selalu sebut dulu-dulu sebagai bantahan kepada kami apabila berhujah.

Pertama, agama bukan ikut akal, tapi akal kena ikut agama. Kedua, agama bukan ikut suasana, tapi suasana kena ikut agama.

Kedua-dua hujah itu diguna oleh lebai apabila kami berbincang soal keperluan mengambil kira realiti dalam pelaksanaan tuntutan agama.

Kami selalu sebut tentang fiqh aulawiyyat, fiqh waqi’, fiqh maalat dan sebagainya. Apabila kami sebut semua tu, lebai kata, agama bukan ikut akal.

Kami selalu sebut tentang keutamaan negara ketika ini bukan potong tangan pencuri atau rejam orang berzina tapi sejahterakan masyarakat. Lebai kata, agama bukan ikut suasana.

Macam-macam yang lebai tuduh kami. Paling tragis kami dituduh cuba melonggarkan pegangan agama masyarakat dan mengajak masyarakat tolak hukum Tuhan.

Lalu lebai pun bacalah ayat al-Quran, sesiapa yang memilih selain daripada Islam sebagai agama, dia di akhirat termasuk dalam kalangan orang yang rugi.

Hakikatnya kami bukan meninggalkan syariah atau menafikan kewajipan melaksanakan hukum syariah, cuma mahu pelaksanaannya menepati waqi’. Itu sahaja.

Misalnya, kewajipan hukum potong tangan pencuri. Kami kata, kami tahu dan mengaku itu hukum Allah. Itu tak pernah kami nafi.

Namun dari sudut pelaksanaan, hukuman itu perlu mengambil kira realiti semasa supaya keadilan tertegak kerana maqasid hukum ialah keadilan.

Saranan kami, fokuskan kepada penyediaan peluang pekerjaan yang mencukupi, wujudkan pengagihan kekayaan negara yang adil sehingga tidak ada orang mencuri kerana lapar.

Sehingga jika ada orang mencuri pun, dia buat bukan kerana lapar tetapi kerana memang dia benar-benar jahat dan suka mencuri. Tabiatnya mencuri.

Apabila itu tercapai, laksanakanlah hukuman potong tangan, barulah pelaksanaan itu adil dan nampak adil. Begitu juga hukuman hudud yang lain.

Tujuan hukuman ialah menegakkan keadilan, bukan semata-mata mahu menghukum tanpa mengambil kira keadilan tercapai atau tidak.

Apabila kami sebut begitu, lebai kecam kami. Lebai kata kami main-main dengan agama. Lebai kata kami ikut jejak kafir benci hudud, hukum Allah.

Lebai kata, buat saja hukum Allah nanti Allah tolong. Lebai tanya kami, kamu tak yakin dengan Allahkah? Mana iman kamu? Fuh… lebai tanya kami tentang iman beb…!

Lebai kata, kita kena ikut agama bukan ikut akal. Kita kena ikut agama bukan ikut suasana. Kita kena ikut syariah bukan ikut maqasid syariah.

Di sana-sini kami dikecam kerana mengajak orang ramai untuk memahami dan mengambil kira realiti dalam pelaksanaan syariah supaya maqasid syariah tidak terabai.

Lebai kata kami utamakan akal berbanding wahyu dan utamakan realiti berbanding syariah. Lebai kata, syariah bukan boleh main fikir-fikir, syariah kena laksana. Gedebung gedebang lebai kutuk kami.

Sekarang, musim Covid 19, apa sudah jadi? Lebai ambil pengajaran atau tidak dengan PKP ini? Atau lebai memang tak faham mana-mana pun. Tahu takbir saja.

Hari ini apabila lebai tak boleh solat Jumaat, kenapa lebai tak guna hujah yang sama? Kenapa lebai tak laung, solat Jumaat perintah Allah, buat sahaja, nanti Allah tolong.

Kenapa lebai tak tanya, kamu lawan Allahkah wahai para mufti yang buat fatwa tak benarkan solat Jumaat? Kenapa lebai tunduk kepada suasana Covid 19?

Bukankah ketetapan tak boleh hadir solat Jumaat dibuat menggunakan akal? Kenapa lebai ikut akal padahal perintah solat Jumaat ada dalam al-Quran?

Kenapa lebai tak guna hujah, laksana syariah bukan maqasid syariah? Lebai tak hadir solat Jumaat, bukankah itu langgar syariah?

Bukankah solat Jumaat adalah syariah, sementara ketetapan tidak boleh hadir solat Jumaat pula dibuat berpandukan maqasid syariah menjaga nyawa? Kenapa lebai ikut maqasid syariah?

Untuk pengetahuan lebai, apa yang lebai alami dalam ujian Covid 19 adalah perkara yang boleh lebai belajar tentang maksud guna akal dan ambil kira realiti.

Oleh kerana realiti Covid 19 boleh membawa mudarat, maka solat Jumaat dilarang utk elak mudarat. Ketetapan wajib solat Jumaat adalah syariah dan larangan tak boleh solat Jumaat juga adalah syariah.

Inilah sudut pandang kami apabila berbincang soal pelaksanaan hudud. Kewajipan solat Jumaat boleh gugur sama seperti kewajipan hudud boleh gugur mengambil kira realiti.

Mengambil kira realiti adalah sebahagian daripada usaha akal. Mengguna akal adalah tuntutan syariah. Kalau tak guna akal macam mana syariah mahu diaplikasi dalam realiti kehidupan?

Harapan aku ialah lebai belajar daripada semua kejadian. Lebai perlu keluar daripada zon malas berfikir dan malas membaca.

Al-Quran adalah ayat Allah. Realiti dan akal juga ayat Allah. Mendirikan solat Jumaat adalah syariah. Meninggalkan solat Jumaat kerana mengambil kira realiti juga adalah syariah.

Melaksanakan hudud adalah syariah. Tidak melaksanakan hudud dalam realiti yang tidak memungkinkan keadilan tertegak juga adalah syariah.

Syariah dan maqasid syariah adalah syariah kerana kedua-duanya bersumberkan kepada sumber syariah.

Aku harap lebai faham apa yang aku tulis.

Sumber :