Viral Mohamad Sabu guna helikopter tentera untuk kempen, ini penjelasan Kementerian Pertahanan

Baru-baru ini viral satu gambar Menteri Pertahanan, YB Mohamad Sabu turun ke Cameron Highlands dengan helikopter tentera. Gambar tersebut menjadi viral dengan pelbagai pihak mengecam tindakan menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen memandangkan Cameron Highlands sedang berlaku pilihanraya kecil ekoran mahkamah memutuskan kerusi tersebut kosong kerana calon BN yang menang didapati menyogok wang kepada pengundi untuk menang dalam PRU 14.

Kementerian Pertahanan tampil menjelaskan perihal gambar yang viral tersebut :

Dakwaan bahawa Menteri Pertahanan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen pada PRK Cameron Highland, adalah tidak benar sama sekali.


Gambar pertama yang memaparkan YB Mohamad Sabu berlatar belakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highland pada Rabu, 9 Januari 2019. Beliau telah pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas selesai lawatan.
Seperti dijelaskan sebelum ini, ianya tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kerana kesemua anggota tentera di Kem Slim tersebut adalah pengundi di Parlimen Sg. Petani Kedah dan bukannya di parlimen Cameron Highland.


Sementara itu, gambar kedua yang memaparkan beliau ke penamaan calon PRK Cameron Highland adalah pada hari Sabtu, 12 Januari 2019. YB Mohamad Sabu telah bertolak ke Cameron Highland pada 11 Januari dengan menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon.

Adalah jelas sekali bahawa kedua-dua gambar tersebut adalah pada hari dan tarikh yang berlainan.
Diharap pihak-pihak tertentu memeriksa terlebih dahulu maklumat sebelum menyebarkan perkara yang tidak benar.

Kementerian Pertahanan Malaysia
15 Januari 2019