[Video] Umno bahagian Pulai usul putus dengan Pas dan bubar Muafakat Nasional

Umno bahagian Pulai usul putus dengan Pas dan bubar Muafakat Nasional.UMNO Bahagian Pulai akan membawa usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan PAS dan membubarkan Muafakat Nasional (MN).

Ketuanya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata usul itu akan dibawakan pada Mesyuarat UMNO Bahagian itu pada 18 Disember ini.

Katanya, usul itu dibangkitkan selepas mengambil kira tindak tanduk PAS kebelakangan ini terutama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

“PAS ini saya cukup hairan kerana seolah-olah dia parti dominan di negara kita, sedangkan UMNO adalah parti yang dominan.

“PAS mahu bersama UMNO kerana mahu kita memayungi parti mereka, sedangkan mereka tidak mahu ikut keputusan kita contohnya berhubung kerjasama dengan BERSATU.

“PAS seharusnya ikut keputusan UMNO. Oleh itu, UMNO Bahagian Pulai akan mengusulkan untuk kita putuskan hubungan dengan PAS dan bubarkan MN.

“Ini mengambil kira MN bukan sebagai gagasan politik diperlukan UMNO, PAS juga tidak jujur selain terbukti tiada kekuatan apabila kesemua calonnya tewas ketika PRN Melaka baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan surat tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perling kepada penduduk Kampung Sungai Pinang, Perling, semalam.

Pada 25 November lalu, PAS dilaporkan menolak gagasan MN, jika ia terbelenggu dengan pembabitan hanya UMNO dan parti itu sahaja.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, PAS juga menolak fahaman menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN).

Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, berkata agenda perpaduan bangsa dan bersama sebagai Islam yang sering dilaungkan PAS juga harus dihentikan.

Katanya, ini kerana perkara itu hanyalah sebagai platform parti berkenaan untuk mendapatkan sokongan.

“Jika PAS tidak mahu terima keputusan UMNO, kita putuskan saja hubungan. Sebelum ini pun kita tahu yang MN ini bukan gagasan politik yang rasmi, ia untuk menyatukan dua parti.

“PAS juga seperti bayang-bayang yang minta perlindungan UMNO memayungi parti itu. PAS tidak layak menentukan hala tuju UMNO dan jika parti itu mahu bergerak bersama BERSATU juga, MN seharusnya dibubarkan saja,” katanya.

BAca: Pelaku kes buli merayu dengan penjaga mangsa jangan buat laporan polis

CATEGORIES