Pembekal vaksin gagal ikut kehendak negara, kata Muhyiddin

Kerajaan mampu untuk memberi vaksin sehingga 400,000 dos sehari namun kegagalan pembekal untuk membekalkan vaksin secukupnya merencatkan usaha berkenaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembekal dari luar negara tidak dapat mengikut kehendak negara sekali gus memberi kesan kepada kadar vaksinasi harian negara.

Menurutnya, masalah tersebut bukan hanya berlaku di Malaysia dan ia berlaku disebabkan ada negara maju ingin memonopoli vaksin yang dihasilkan.

BACA JUGA : https://www.gemilangdaily.com/kemana-pergi-5-juta-vaksin-dari-eropah-kepada-malaysia/

“Kita negara yang sedang membangun dan mungkin nak maju ini dikemudiankan walaupun kita dah tandatangan 100 peratus jumlah yang kita perlukan, lebih daripada 100 peratus juga tapi yang sudah tiba, hanya sebahagian daripadanya.

“Kalau hari ini, belum sampai 10 peratus daripada populasi Malaysia diberikan suntikan. Bukan kerana tak mampu tapi tiada vaksin.

“Saya pergi tempat lain pun begitu. Mereka ada kapasiti dua kali ganda, tiga kali ganda tapi vaksin tak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Menara Sime Darby, di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Tegas Muhyiddin, beliau telah mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk meneliti perkara tersebut.

“Saya dah arahkan KJ dan Dr Adham untuk runding terus dengan semua pembekal yang telah kita tandatangan perjanjian, dah bayar pun hampir semua.

“Ini ‘berniaga’ memang kita rugi, bayar dulu tapi bekalan tak sampai lagi… tapi nak buat apa… kita tak keluar vaksin kita sendiri, jadi terpaksa kita tunggu mereka hantar bekalan.

“Kita akan terus runding supaya penghantaran dibuat dalam tempoh segera,” ujarnya.

Katanya, usaha itu perlu diteruskan bagi mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin sebelum akhir tahun.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Khairy mengkritik tindakan sesetengah negara maju menyorok bekalan vaksin COVID-19 yang diperlukan negara-negara membangun, yang disifatkan sebagai satu amalan yang sangat tidak bermoral.

Kritikan pedas itu disuarakan pada Forum Bank Dunia yang berlangsung secara dalam talian, pada Rabu.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata beliau terpanggil untuk sekali lagi menyuarakan mengenai perkara ini, dengan menegaskan Bank Dunia memainkan peranan penting mengatasi masalah tersebut.

Tegasnya, Bank Dunia memiliki tanggungjawab untuk menyampaikan suara negara-negara membangun berhubung tindakan yang tidak bermoral seperti itu.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembekal-gagal-bekal-vaksin-ikut-kehendak-negara-muhyiddin-304889

COMMENTS

Wordpress (0)