Ustaz didakwa di mahkamah kerana liwat pelajar 15 tahun

Ustaz didakwa di mahkamah kerana liwat pelajar 15 tahun

Seorang guru agama berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown hari ini atas tiga pertuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajarnya yang berusia 15 tahun.

Dia membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Mengikut pertuduhan, guru tersebut didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Teluk Kumbar, antara 20 November tahun lalu hingga 14 Mac lalu.

Dia berdepan satu dakwaan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dua dakwaan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Utusan Malaysia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain turut mengenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh menghampiri mangsa.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim manakala tertuduh diwakili peguam, Md. Yusuf Md. Idris. Kes disebut semula pada 26 April ini.

Berita penuh :https://malaysiadateline.com/ustaz-dituduh-liwat-lakukan-amang-seksual-terhadap-pelajar-15-tahun/