Urus 33 jenazah Covid-19 satu hari

“Kebanjiran jenazah pesakit Covid-19 memang meletihkan semua petugas barisan hadapan yang langsung tidak bercuti sejak beberapa bulan lalu.

“Namun saya anggap kerja ini (mengurus jenazah Covid-19) sebagai bakti perlu ditunaikan kepada negara,” ujar Pengurus Jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Nursyamsul Abdul Roni, 40.

Beliau mengakui kadangkala terasa kelesuan kerana terpaksa menguruskan jenazah mangsa Covid-19 setiap hari dalam jumlah yang besar.

PROSES tayamum dilakukan ke atas jenazah sebelum disolatkan.

PROSES tayamum dilakukan ke atas jenazah sebelum disolatkan.

“Namun memikirkan ini adalah tanggungjawab dan ‘lubuk’ pahala, saya cekalkan semangat dan hati untuk meneruskan tugas ini bersama ramai petugas lain.

“Kalau diikutkan memang sesiapa sahaja akan kepenatan bila melihat mayat mangsa Covid-19 tidak putus-putus dihantar ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Nursyamsul berkata, sehingga kini dia dan petugas lain masih belum mengambil cuti dan akan bertugas setiap hari menguruskan jenazah Covid-19 di Pusat Urus Jenazah Sementara (Pusara) di HKL.

Menurutnya, pihak Jawi akan memberi jadual tugasan setiap malam tugasan keesokan harinya.

“Selain bertugas pada awal pagi, saya sudah tetapkan setiap hari sekurang-kurangnya satu slot tugasan pengurusan jenazah dilakukan pada jam 2 petang atau 5 petang.

“Saya juga perlu bijak menguruskan masa bersama keluarga andai kata perlu keluar membeli barangan keperluan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengakui pernah berasa gusar jika dijangkiti virus Covid-19 ketika menguruskan jenazah mangsa.

Menurutnya, tugas dilakukannya itu membabitkan proses tayamum dan solat jenazah sebelum jenazah dimasukkan ke dalam van untuk dibawa ke kubur.

“Paling utama, saya dapat belajar bagaimana menguruskan jenazah mangsa Covid-19 sehinggakan kadangkala kepenatan itu tidak dirasai.

“Penat itu memang tidak dapat dinafikan, bayangkan jika perlu menguruskan 33 jenazah Covid-19 sehari. Namun tugas ini tetap diteruskan dengan tabah memikirkan kesedihan dialami ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tercinta,” katanya.

Jenazah bertambah uji emosi, fizikal

Kuala Lumpur: Ubun kepala terasa berdenyut kencang. Urat mata mencengkam tatkala terik mentari petang terus menikam tubuh. Peluh mengalir di dahi mereka tanpa henti.

Sekitar 30 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dilihat bersiap sedia di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

Niat mereka jelas. Mahu menguruskan deretan jenazah mangsa Covid-19 bakal dihantar terus dari hospital setiap hari.

Semua mereka tetap sabar menanti saat ketikanya van jenazah muncul untuk menguruskan ‘perjalanan’ terakhir jenazah Covid-19 ke alam abadi.

“Tipulah jika kami katakan tidak berasa penat dan lelah. Dengan jumlah jenazah pesakit Covid-19 yang kian bertambah saban hari ia benar-benar menguji ketahanan emosi dan fizikal,” ujar pegawai APM Wilayah Persekutuan, Leftenan Mohd Jasmi Salehudin.

Menurutnya, tanggung jawab dipikul bagi mengebumikan jenazah mangsa Covid-19 itu dilakukan sejak lebih dua bulan lalu bersama petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Pejabat Kesihatan Daerah Kepong dan pertubuhan bukan kerajaan dari Sungai Penchala.

“Pada awalnya dahulu, hanya satu atau dua mayat sahaja diuruskan sehari. Namun sejak sebulan lalu, angkanya meningkat mendadak dengan purata 16 jenazah sehari. Jenazah tidak putus-putus hadir silih berganti.

“Bagi petugas APM, keadaan ini tidak pernah dibayangkan dahulu. Jauh dari tugasan rutin dipikul kami sebelum ini. Bagaimanapun tanggungjawab fardu kifayah ini perlu diuruskan sebaik mungkin,” katanya yang ‘berumah’ di tanah perkuburan itu sejak 23 Jun lalu.

Dia memberitahu, mereka terlebih dahulu perlu ‘menuntut ilmu’ kaedah pengendalian jenazah dari petugas Jawi selain prosedur operasi standard (SOP) mangsa Covid-19 yang perlu dipatuhi.

Sementara itu, anggota APM Cheras, Leftenan Kassim Saddullah, 40, yang menguruskan jenazah mangsa Covid-19 di Taman Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kem Sungai Besi di sini, mengakui tidak menang tangan sejak lebih sebulan lalu.

Menurutnya, sekitar enam jenazah diuruskannya sehari dan angkanya terus meningkat termasuk jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras.

“Enam anggota APM lengkap dengan PPE akan bersedia seawal jam 12 tengah hari setiap hari. Biasanya tugas semburan sanitasi akan dilakukan dahulu terhadap bungkusan jenazah, van jenazah dan pengusung sebelum jenazah dibawa ke liang lahad.

“Tiga petugas akan mengangkat jenazah sebelum tiga lagi petugas menyambut dari dalam liang lahad. Selepas jenazah diletakkan menghadap ke kiblat, tugas mengambus kubur dilakukan.

“Setiap urusan jenazah perlu diselesaikan dalam tempoh 30 minit sebelum pihak pengurusan kubur membacakan talkin di pondok terletak jauh dari kawasan pusara,” katanya,

Ditanya berhubung pengalaman dilalui, Kassim mengakui berdepan cabaran ketika mahu mengebumikan jenazah mangsa Covid-19 seberat lebih 200 kilogram.

“Sembilan petugas diperlukan untuk mengangkat jenazah sebelum diturunkan perlahan-lahan ke dalam liang lahad. Malah saya tidak dapat menyembunyikan kesedihan ketika mengebumikan bayi pramatang berusia tujuh bulan yang turut menjadi mangsa Covid-19,” katanya.

Terpaksa guna jentolak untuk gali lubang kubur

“Walaupun cuti umum Awal Muharram (Selasa lalu), petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tetap meneruskan tugas menguruskan jenazah mangsa Covid-19 seperti biasa,” ujar Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Menurutnya, seramai 90 petugas lelaki dan 29 petugas wanita Jawi terbabit dalam mengurus pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di hospital di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Pasukan Jawi ini bertugas menguruskan jenazah dari beberapa hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Hospital Putrajaya (HPJ) dan Institut Kanser Negara (IKN).

“Setakat hari ini (semalam), sebanyak 2,958 jenazah mangsa Covid-19 beragama Islam membabitkan warga Wilayah Persekutuan dan Labuan sudah diuruskan pihak Jawi untuk pengebumian,” katanya.

Menurutnya, jentolak terpaksa digunakan untuk menggali lubang kubur susulan bilangan jenazah yang tinggi perlu diuruskan di Tanah Perkuburan Islam Raudhathul Sakinah (TPIRS) Lebuhraya KL-Karak di Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara.

“Jawi terpaksa guna langkah lebih proaktif dengan menggunakan jentera disewa ini bagi menggali lubang kubur. Penggali kami yang mahir kemudian akan membuat liang lahad.

“Jentera ini juga kami gunakan untuk membantu menutup lubang kubur, semua ini adalah bagi mempercepatkan proses pengurusan jenazah,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/08/742064/33-jasad-satu-hari

BACA JUGA : Kelantan antara tercorot dapat bekalan vaksin