Undi Percaya : Perlu ada titah rasmi Agong untuk batalkan titah terdahulu

MP

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada benar atau tidak Yang Dipertuan Agong telah memperkenankan bahawa tiada keperluan membentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Parlimen akan datang.

Kenyataan bahawa baginda bertitah demikian hanya dimaklumkan melalui kata-kata dalam sidang media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Wan Tunku Jaafar, bukan melalui kenyataan rasmi daripada Istana Negara.

Itu pun, Wan Junaidi memperolehi maklumat tersebut daripada pemberitahuan oleh Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat kabinet, baru-baru ini.

Undi Percaya : Perlu ada titah rasmi Agong untuk batalkan titah terdahulu

Memandangkan Ismail Sabri adalah pihak yang berkepentingan dalam usul undi percaya itu, manakala Wan Junaidi pula berkepentingan terhadap Ismail Sabri yang melantiknya sebagai menteri, apa yang disebutnya mengenai perkenan Agong itu sudah tentu boleh menimbulkan keraguan serta kesangsian.

Selagi belum ada kenyataan media daripada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkenaan titah terbaru Agong itu, titah lama baginda bertarikh 18 Ogos lalu yang menitahkan Perdana Menteri yang baru dilantik perlu segera mengabsahkan kedudukannya di Parlimen adalah dikira masih sah dan terpakai.

Selain Wan Junaidi yang membawa khabar tersebut adalah menteri yang terhutang budi kepada Ismail Sabri sebab diberikan jawatan menteri, beliau juga bukanlah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara yang mempunyai autoriti untuk menyampaikan sesuatu titah bagi pihak Agong.

Maka, sehingga tiada titah baru berkenaan perkara itu dan berdasarkan kenyataan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bahawa tiada usul undi percaya dimasukkan dalam aturan mesyuarat Parlimen bermula 13 September depan sebagaimana jadual mesyuarat telah diterimanya, ini bermakna Ismail Sabri tetap dianggap telah derhaka kepada Agong.

Titah Agong pada 18 Ogos lalu iaitu dua hari selepas Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatannya, dengan jelas menyebut Perdana Menteri yang baru dilantik nanti hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul percaya di Parlimen untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Jika Ismail Sabri faham maksud perkataan secepat mungkin dalam titah Agong itu, beliau tidak ada sebab untuk tidak membenarkan usul undi percaya terhadapnya pada sidang Parlimen bermula 13 September ini.

Selepas sidang Parlimen pada 13 September ini, jika usul itu dibawa misalnya, ia sudah tidak menepati lagi maksud secepat mungkin dalam titah Agong tersebut.

Berpegang kepada titah Agong terdahulu yang masih sah itu, ternampak dalam hal ini, selain jelas derhaka, Ismail Sabri juga adalah seorang Perdana Menteri yang enggan patuh kepada titah Raja, suatu sikap yang bertentangan dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi amalan yang sah bagi negara sejak merdeka.

Melalui prinsip Raja Berperlembagaan, Agong adalah ketua negara manakala Perdana Menteri merupakan ketua kerajaan.

Kedudukan Agong diperkukuhkan lagi dalam Rukun Negara di mana Kesetiaan Kepada Raja dan Negara diletakkan di nombor dua selepas Kepercayaan Kepada Tuhan.

Ini bermakna, mengingkari titah Raja adalah sikap yang kedua terkutuk bagi sesiapa yang menjadi warganegara, lebih-lebih lagi jika dilakukan oleh seorang Perdana Menteri.

Sebab itu keengganan Mahiaddin sebelum ini patuh kepada titah Agong berkaitan pembukaan Parlimen telah mengundang kecaman dan tekanan yang berterusan terhadapnya sehingga beliau akhirnya terpaksa meletakkan jawatannya.

Malaysia ini tidak harus ada Perdana Menteri atau ketua kerajaan yang tidak mahu mendengar titah Agong kerana ia merupakan contoh teladan yang sangat buruk untuk dilihat oleh rakyat, bahkan akan menjejaskan keharmonian dalam hubungan antara ketua negara dengan ketua kerajaan yang seharusnya saling bergandingan.

Perdana Menteri yang tidak boleh patuh kepada titah Raja bukan saja tidak diperlukan oleh negara, lebih daripada itu rakyat juga pasti tidak akan teragak-agak “menendangnya” bila tiba waktu pilihanraya.

Berita Penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/09/07/negara-ini-tidak-harus-ada-perdana-menteri-yang-enggan-patuh-titah-raja.html

BACA JUGA : Perubahan iklim, ini yang bakal terjadi kepada Jakarta