Umum boleh ‘dine-in’ di Sabah, tapi mana SOP nya?

Keputusan Kerajaan Sabah membenarkan dine-in di premis bermula hari ini mengundang kekeliruan dalam kalangan peniaga.

Ini kerana rata-rata peniaga tidak mendapat prosedur operasi standard (SOP) yang jelas mengenai kebenaran dine-in di restoran itu.

Tinjauan Astro AWANI mendapati rata-rata peniaga berharap agar SOP yang jelas disediakan sebelum sebarang pengumuman dibuat bagi mengelak berlaku kekeliruan seperti sekarang.

Bagi Pemilik Kedai Onde D’Cafe, Debbie Nieh ekoran kekeliruan itu dia mengambil keputusan untuk tidak menyusun meja dan kerusi untuk tujuan dine-in di restorannya.

“Pagi tadi saya datang pun sebenarnya saya mahu buka tetapi apabila saya lihat peniaga lain simpan balik kerusi meja (tidak boleh dine-in) ia membantutkan hasrat itu.

“Jadi saya ambil keputusan untuk menyediakan makanan untuk perkhidmatan bawa pulang,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Difahamkan beberapa pegawai penguat kuasa kesihatan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu memberi amaran kepada peniaga untuk supaya tidak menyediakan meja dan kerusi untuk perkhidmatan dine-in.

Debbie menambah, kerajaan sepatutnya mengeluarkan SOP yang jelas sebelum membuat pengumuman pelonggaran SOP termasuk membenarkan dine-in di restoran.

“Harap-harap SOP perlu jelas dahulu sebelum pengumuman dibuat. Informasi di media sosial hanya akan mengelirukan peniaga macam kami,” katanya.

Nasib sama turut dialami Pemilik Wei Lee Coffee & Chicken Cuisine, Anita Chong yang berkata walaupun mendapat maklumat bahawa dine-in dibenarkan, tetapi tiada SOP diberikan.

Oleh itu, Anita mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu perkhidmatan itu.

“Jadi kita tunggu sajalah. Saya berharap kalau boleh bukan saja kami punya kedai makan boleh dine-in tetapi bisnes kecil lain pun boleh buat benda sama. Ia membolehkan mereka jana pendapatan untuk berbelanja,” katanya.

Pada Isnin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan membenarkan operasi dine-in di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel mulai Selasa (29 Jun 2021).

Katanya, keputusan itu susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa Pertama selain sebahagian SOP Negeri Sabah PKP 3.0 dikekalkan.

Malah, Hajiji menjelaskan SOP Negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sop-dine-sabah-kelirukan-peniaga-305799

BACA JUGA : PdPR : 400 pelajar Kelantan terpaksa daki bukit sejauh 5km

COMMENTS

Wordpress (0)