Umno sasar tanding 120 kerusi parlimen, bakal jadi parti terkuat lepas PRU15

Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata, parti itu memutuskan untuk bertanding 120 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), yang mencetuskan spekulasi parti itu akan menghadapi pilihan raya tanpa PAS.

Bercakap pada sesi penggulungan perbahasan Puteri Umno hari ini, Ahli Parlimen Pasir Salak itu menyeru ahli sayap itu supaya yakin dengan kemampuan parti untuk membentuk kerajaan sekali lagi selepas pilihan raya.

“Parti sudah memutuskan bahawa kita akan bertanding tidak kurang 120 kerusi Parlimen. Parti mana yang akan bertanding lebih daripada itu? Bahkan PPBM tak akan bertanding lebih 50 atau 60 kerusi. PAS juga tak akan bertanding melebihi 50 atau 60 kerusi.

“Dengan kata mudah, selepas pilihan raya umum akan datang, percayalah tidak akan ada satu parti pun yang akan menang lebih kerusi berbanding Umno,” katanya.

Awal bulan ini, Tajuddin dilaporkan berkata, Umno akan bertanding 120 kerusi Parlimen jika bersendirian menghadapi PRU15.

Katanya, jika kerjasama dengan PAS diteruskan, Umno hanya menyasarkan untuk bertanding di 96 kerusi Parlimen.

Hari ini, beliau berkata, terpulang kepada PAS untuk memilih bekerjasama dengan Umno atau PPBM, bagaimanapun beliau berharap PAS akan melihat semula piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterainya dan janji yang dibuatnya.

“Kita setuju dalam MN, kita dah tandatangan piagam bahawa kita akan bersama sehingga pilihan raya umum akan datang. Kami harap PAS tak mungkiri dan berpegang pada janjinya.

“Umno sudah memberikan jaminan bahawa kami tidak akan mungkiri janji. Kami tetap mahu bersama-sama dengan PAS pada PRU akan datang.”

Tajuddin menyeru ahli Puteri Umno supaya yakin dengan kemampuan parti untuk membentuk kerajaan sekali lagi selepas pilihan raya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk sekurang-kurangnya satu kerusi DUN di setiap Parlimen diberikan kepada calon Puteri atau Wanita Umno.

Katanya, di kawasannya di Pasir Salak, beliau sudah meletakkan dua kerusi DUN untuk ditandingi calon wanita.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/27/umno-hadapi-pru15-sendirian-kata-tajuddin-partinya-sasar-120-kerusi/

COMMENTS

Wordpress (0)