UMNO perlu banyak berkorban, tak boleh dominasi PN – Wan Saiful

Perikatan Nasional (PN) berpotensi menjadi lebih stabil berbanding Pakatan Harapan (PH) dan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) kata salah seorang pemimpin Bersatu hari ini.

Menurut Wan Saiful Wan Jan untuk mencapai kestabilan itu, Umno perlu banyak berkorban dan tidak lagi boleh mendominasi gabungan itu seperti yang mereka lakukan dalam BN.

Langkah berkenaan, kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, membolehkan PN dibentuk dengan lebih baik berbanding gabungan politik yang ada sebelum ini.

“Setakat ini ada 12 parti yang telah menyatakan persetujuan membentuk PN. Ada sebilangan kecil tokoh Umno yang kelihatan tidak selesa dan ini memang tidak pelik.

“Ini kerana dalam BN mereka adalah parti dominan tetapi dalam PN mereka akan hilang status dominan itu. Sudah pasti ada pemimpin Umno yang risau.

“Kesaksamaan dalam PN akan menjadikan ia lebih baik daripada BN. Tetapi sekarang ini, bagi saya, Umno perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan transisi,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

PN adalah gabungan yang muncul ekoran Langkah Sheraton pada akhir Feb lalu yang menyaksikan kejatuhan PH sebagai kerajaan. Ia dilakukan sebahagian pemimpin kanan PKR yang kemudian diikuti pengumuman Bersatu menarik diri daripada PH.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kemudian dilantik menjadi perdana menteri dengan sokongan BN, Muafakat Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun pengkritik menyatakan PN adalah ‘kerajaan pintu belakang’ kerana wujud melalui pakatan ahli-ahli parlimen tertentu dan tidak mendapat mandat daripada rakyat.

Kecuali Bersatu, semua parti yang membentuk PN kalah dan ditolak oleh pengundi. GPS pula berkali-kali menegaskan mereka bukan sebahagian daripada PN.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/530205