Umno patut terima tawaran TPM – Mubarak

Umno patut terima tawaran TPM – Mubarak

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menggesa Umno menerima tawaran jawatan timbalan perdana menteri (TPM) bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru di antara Perikatan Nasional (PN), BN serta Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata presidennya, Abdul Aziz Rahman, sekiranya pertembungan tiga penjuru itu berlaku, Umno tidak akan mampu lagi untuk bangkit selepas tersungkur pada PRU-14 dan kalah buat pertama kali dalam sejarah.

“Sekiranya Umno menjawat jawatan TPM, ahli-ahli akar umbi berkeyakinan tinggi untuk menghadapi PRU ke-15 kerana kedudukan mereka lebih terjamin.

“Pada masa sama, ia akan menamatkan spekulasi wujudnya usaha untuk Umno menjalinkan kerjasama dengan PH yang mana kebanyakan orang Melayu tidak boleh terima hal ini,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Aziz, kepemimpinan tertinggi Umno perlu bersetuju dengan tawaran jawatan TPM itu demi memperkasa semula hala tuju parti menjelang PRU akan datang.

Umno juga katanya harus mengutamakan kelangsungan “politik Melayu-Islam.”

Isu jawatan TPM kembali diperkatakan sejak kebelakangan ini apabila kepemimpinan PN dikatakan mahu memberikan jawatan itu kepada Umno, dan perkara itu pun dikatakan akan dibincangkan oleh kepemimpinan tertinggi Umno.

Ura-ura itu menerima reaksi pelbagai, baik dari dalam Umno sendiri mahupun penganalisis politik.

Ia juga berlaku ketika beberapa ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri.

Majlis Tertinggi Umno pula meluluskan usul dibawa pimpinan parti di peringkat akar umbi untuk menamatkan hubungan dengan Bersatu. Usul tersebut menunggu masa untuk diluluskan dalam perhimpunan tahunan parti berkenaan.

Penganalisis politik Jeniri Amir memandangkan sebagai langkah wajar.

Namun Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil menyifatkan melihat tawaran tersebut sebagai usaha terdesak Muhyiddin untuk menyelematkan kedudukannya yang umpama telur di hujung tanduk.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, pula melihat isu berkenaan tidak relevan pada masa negara dilanda darurat, dan dia sendiri berpandangan Majlis Tertinggi Umno tidak akan bersetuju dengan tawaran tersebut.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563678