UMNO jangan mimpi nak rampas kerajaan negeri Sabah

Walaupun hanya tinggal satu kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, UMNO yang telah dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum 2018 nampaknya masih menyimpan hajat besar untuk membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah melalui usaha membeli wakil rakyat agar berpaling tadah.

Nafsu besar parti itu jelas apabila dua pemimpinnya iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Ketua Pemudanya, Abdul Aziz Julkarnain seperti dilaporkan hari ini masing-masing menyatakan Kerajaan Sabah akan tumbang.

Ketua Wira Warisan Sabah, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Warisan amat menyedari tingkah laku para pemimpin UMNO yang kini membeli wakil rakyat agar parti itu dapat membentuk sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

Katanya, kenyataan Abdul Aziz kononnya ramai ADUN kerajaan tidak berpuas hati sehingga tidak hadir semasa sidang akhbar menyokong Ketua Menteri tempoh hari adalah sangat dangkal dan hanya cuba memainkan isu untuk mengelirukan rakyat.

“Cubaan yang baik untuk bermain isu, kami sebenarnya tahu mereka cuba memujuk ADUN kami untuk buat seperti di Kedah serta Langkah Sheraton.

“Bagaimanapun kekuatan utama kami adalah keutuhan yang wujud dalam kalangan pemimpin, jangan terkejut kalau sebaliknya ADUN mereka yang akan menyertai kita,” katanya.

Sementara itu, Bung dalam kenyataannya menganggap seolah-olah lompat parti adalah perkara yang amat biasa berlaku di Sabah seperti yang tercetus di Semenanjung menyebabkan beberapa kerajaan negeri ditumbangkan untuk membentuk kerajaan pintu belakang.

Menjawab kenyataan itu, Timbalan Ketua Wira Warisan, Mohd. Ismail Ayob berkata, maruah dan integriti wakil rakyat Kerajaan Sabah bukanlah serendah seperti yang ditunjukkan oleh Bung.

Katanya, Bung tidak perlu bermimpi kerana secara logiknya bukan mudah untuk lebih 17 ADUN melompat parti sekali gus, apatah lagi wakil rakyat kerajaan kini mempunyai perjuangan yang jelas di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Tegas beliau, rekod UMNO di Sabah sudah terlalu buruk menyebabkan negeri ini yang dulu dikenali sebagai deposit tetap Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018.

“Jangan mimpilah semudah itu mahu rampas kerajaan negeri seperti begitu senang untuk ADUN lompat parti sampai 17 orang.

“Bung mungkin terlupa apa yang UMNO lakukan kepada Sabah selama ini, mengaut hasil bumi Sabah hanya untuk mengayakan pemimpin UMNO sedangkan di seluruh negeri rakyat masih kelaparan dan dilanda kemiskinan.

“Rakyat Sabah tidak lupa semua itu, sebab itulah mereka menukar Kerajaan Sabah sebelum ini kerana mahukan pembaharuan, maka wakil rakyat yang ada sekarang bersatu hati demi mencapai hak negeri ini,” tegasnya.

Berita Penuh :https://www.warisanonline.com/umno-jangan-mimpi-bentuk-kerajaan-pintu-belakang-di-sabah-azis/