Umno hanya “berlakon” ugut untuk putus dengan PPBM, dakwa Khalid

Umno hanya “berlakon” ugut untuk putus dengan PPBM, dakwa Khalid

Umno sekadar mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin apabila ia membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PPBM, yang diterajui Muhyiddin, kata Amanah.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, Umno mahu Muhyiddin menurut apa yang ia mahukan dengan bermain “sandiwara” sebegini.

“Saya rasa ini semua mainan sandiwara, wayang kulit hanya untuk nak letak tekanan ke atas Muhyiddin untuk bersetuju dengan tuntutan Umno terhadap PN (Perikatan Nasional),” kata beliau dalam sesi siaran langsung di Facebook Jom Channel.

“Sebelum ini, kita dengar soal tuntutan jawatan timbalan perdana menteri, tuntutan dari kluster mahkamah, tidak dilayan, jadi mereka hanya nak buat bising nak takutkan lawan (PPBM). Belum berentap lagi.”

Kata Khalid, sekiranya Umno benar-benar serius mengakhiri kerjasama dengan PPBM, sepatutnya parti tersebut sudah boleh bertindak.

“Letak jawatan, tarik sokongan (daripada kerajaan PN). Hasil Perhimpunan Agung Umno, dari segi tindakan tak ada apa-apa. Tapi bila bercakap, riuh dan lebih riuh,” kata beliau.

Khalid berkata, Umno tidak akan berani memutuskan hubungan dengan PPBM kerana memikirkan kerugian di pihak mereka.

“(Umno) sudah ambil kira keuntungan untuk diri mereka kalau tarik sokongan terhadap kerajaan PN. Mereka juga risau ada orang lain masuk sokong (PN).

“Mungkin PKR masuk, mungkin PH masuk. Mungkin Muhyiddin terdesak, beliau panggil DAP sokong, atau panggil PH supaya beliau tak jatuh,” kata Khalid.

Ahad lalu, Umno dalam perhimpunan agungnya di Kuala Lumpur, memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dan bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15.

Dalam pada itu, Khalid juga mengingatkan Pakatan Harapan (PH) supaya memperkukuhkan diri ketika PN sedang lemah.

“Dalam keadaan kita tahu mereka (PN) tak kuat, sepatutnya kita bergerak kukuhkan PH.

“Jangan kita nak bantu Umno, Umno sudah tak kuat, janganlah nak kerjasama,” kata beliau, dipercayai merujuk kepada keterbukaan Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan Umno.

“PH kena bijak menangani keadaan ini. Jangan sampai kita serah tengkuk kepada Umno.”

Selain itu, Khalid berkata, Anwar harus diberi masa sehingga pilihan raya akan datang untuk membuktikan beliau memiliki sokongan bagi membentuk kerajaan baharu.

“Sekarang ini dikatakan angka sudah cukup (untuk bentuk kerajaan baharu), tapi malangnya tidak diumumkan secara terbuka siapa, ini menyebabkan orang keliru,” kata beliau.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/31/putus-dengan-ppbm-hanya-sandiwara-umno-kata-amanah/