Umno dan PKR dan berkongsi masalah serius yang sama, kata Kadir Jasin

Umno dan PKR dan berkongsi masalah serius yang sama, kata Kadir Jasin

Pelompatan dua orang Ahli Dewan Rakyat PKR bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin tetapi pastinya melemahkan lagi PKR.

Ini adalah kerana tidak ada bukti sahih mengenai sokongan sebenar Ahli Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin. Yang kita dengar adalah dakwaan Muhyiddin yang dia mempunyai sokongan besar. Itu hanyalah cakap mulut.

Tetapi bagi PKR ini adalah berita buruk kerana dengan ini ia sudah kehilangan, kalau tak silap saya, 14 orang Ahli Dewan Rakyat sejak pilihan raya umum 2018. Sekali gus ia turut melemahkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) apatah lagi dengan khabar angin mengatakan PKR cuba mengatasi defisitnya dengan mencuri Ahli Parlimen dari parti sahabat.

Perkembangan terbaru ini turut menjejaskan Umno. Walaupun kelemahan PKR tidak akan memberi kesan besar kepadanya tetapi peningkatan kekuatan Bersatu/PN akan menyukarkan lagi pemulihannya.

Umno dan PKR menderita maladi yang serupa iaitu ramai Ahli Dewan Rakyat mereka khianat. Daripada 79 kerusi yang Umno/BN menangi, kini tinggal 39 kerusi saja akibat pembelotan. Mereka keluar untuk menyertai Bersatu tidak lama selepas PRU.

Tidak hairanlah kalau 147 daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara menolak kerjasama dengan Bersatu. Pemimpin akar umbi Umno faham sentimen penyokong mereka terhadap Bersatu dan persepsi pengundi terhadap kepemimpinan Umno yang ada sekarang.

Kalau dalam PRU 2018 mereka dibebankan oleh isu 1MDB sekarang telah terbukti bahawa cerita 1MDB itu benar dan Mohd Najib Abdul Razak telah pun didapati bersalah dalam kes SRC International dan sedang dibicarakan atas kes-kes tambahan berkaitan 1MDB. Presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi pula sedang dibicarakan atas tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Kalau sesuatu tidak dilakukan segera macam yang dicadangkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, perpecahan dalam Umno akan menjadi lebih teruk. Dengan kelemahan Umno, secara automatik Bersatu/PN menjadi bertambah kuat. Dalam keadaan itu, harapan Umno memujuk Pas supaya balik ke pangkuan Muafakat Nasional (MN) semakin tipis. Pas sedang terbeliak biji mata merasai nikmat berkhalwat dengan Bersatu/PN.

Malah ada kemungkinan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Adun-adun Umno yang oportunistik, khususnya yang berjawatan dalam kerajaan PN, tidak akan balik lagi kepada Umno. Mereka mungkin bertanding PRU akan datang sebagai calon Bersatu/PN maka dengan itu memberi harapan yang lebih cerah kepada Bersatu/PN. Inilah yang dimaksudkan sebagai “scheme of things” oleh Muhyiddin iaitu melumpuhkan Umno dan mengasyikkan Pas. Buat masa ini, sama ada kita suka atau benci, Muhyiddin adalah “frontrunner”.

Sumber: