Umno dan Bersatu Sabah sedang bersaing tarik wakil rakyat lompat parti

Umno dan Bersatu Sabah sedang bersaing tarik wakil rakyat lompat parti

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin mendapat manfaat daripada tindakan Ahli Parlimen pembangkang melompat parti untuk menyertainya, namun penganalisis berkata, ia boleh menjadi titik pertembungan dalam hubungan antara Umno dengan PPBM di negeri itu.

GRS kini mempunyai 48 daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu kurang lima kerusi untuk membentuk majoriti dua pertiga selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar Warisan dan mengisytiharkan sokongan kepada GRS (yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS).

Penganalisis percaya, dari segi dalaman, ia adalah persaingan antara PN-PPBM dan Umno Sabah untuk menguasai lebih banyak kerusi DUN bagi memperkukuh kedudukan masing-masing sebagai parti dominan di negeri itu.

Pakar sains politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pasti akan ada persaingan antara PN dan Umno bagi memastikan ADUN yang keluar parti bergabung dengan mereka.

PN memenangi 17 kerusi dan Umno 14 kerusi pada pilihan raya negeri tahun lalu.

“Ini tidak dapat dielakkan kerana kedua-duanya mahu menunjukkan mereka mempunyai pengaruh dan kuasa lebih besar daripada yang lain,” katanya kepada FMT.

Di satu pihak, PN mahu menambah angka 17 kerusi untuk memperkukuhkan posisinya sebagai parti dominan dalam GRS, sementara Umno Sabah pula mahu mengatasi jumlah kerusi yang dikuasai oleh sekutu mereka, sekali gus muncul semula sebagai parti terbesar.

Jumlah kerusi yang dimiliki setiap parti juga mencerminkan kekuatan akar umbi masing-masing, katanya.

“Ini juga sebenarnya mencerminkan persaingan antara dua parti itu di peringkat nasional,” kata Awang Azman.

Susulan tindakan Hassan meninggalkan Warisan, wujud spekulasi bahawa lebih ramai wakil rakyat pembangkang akan melompat parti.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, partinya bersedia menerima mana-mana ADUN atau Ahli Parlimen yang mahu menyertai Umno.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung berkata, perlumbaan untuk menarik wakil rakyat itu adalah antara PPBM dan Umno.

Katanya, PPBM Sabah sendiri hanya memenangi 11 kerusi dalam pilihan raya lepas, dengan baki enam kerusi dikuasai oleh STAR, parti komponen PN bersama-sama SAPP dan PAS.

Persaingan itu akan menimbulkan ketegangan antara PPBM dan Umno. Ia timbul sebelum ini berhubung jawatan ketua menteri, yang akhirnya diserahkan oleh Umno kepada PPBM.

“Tetapi saya percaya mereka dapat mengetepikan perbezaan yang wujud. Ketegangan itu masih ada walaupun ia tidak ditunjukkan secara terbuka.

“Ia adalah ‘ketegangan yang stabil stabil’ bagi saya, ” katanya.

Namun, Awang Azman percaya wujud persaingan dalaman yang kuat dalam kalangan komponen GRS, walaupun PN dilihat berada di atas pada masa ini kerana gabungan itu mengetuai kerajaan negeri dan persekutuan.

PPBM mempunyai faktor tarikan lebih baik kerana dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Tetapi kita tidak boleh mengelak daripada melihat PRU15 – jentera Umno lebih kuat (berbanding PPBM) dan sentimen dalam kalangan ahlinya adalah parti itu lebih kuat – itu kelebihan mereka.

“Jadi, ia bergantung pada Ahli Parlimen bebas dan parti yang akan mereka sertai – adakah mereka melihat Umno sebagai parti yang mampu menawarkan masa depan yang lebih cerah selepas PRU15 atau PPBM akan menjadi lebih dominan?”

GRS memperoleh 38 kerusi dalam pilihan raya Sabah tahun lalu, dengan PN memenangi 17 kerusi, BN-Umno Sabah 14 dan tujuh kerusi PBS.

Warisan Plus memenangi 29 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan, sementara sekutunya PKR memenangi dua dan Upko satu. Baki tiga kerusi dimenangi oleh calon Bebas yang memberi sokongan kepada GRS.

Enam ADUN dilantik selepas pembentukan kerajaan GRS, menjadikan 79 ahli di DUN Sabah.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/28/ppbm-umno-bersaing-tarik-wakil-rakyat-sabah-lompat-parti-kata-penganalisis/