Umno bertegas tidak akan serah kerusi yang dimenangi PRU-15

Umno bertegas tidak akan serah kerusi yang dimenangi PRU-15

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor tidak akan melepaskan mana-mana kerusi yang dimenanginya sebelum ini, sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bagaimanapun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya tiada halangan jika Perikatan Nasional (MN) khususnya Bersatu mahu meletakkan calonnya bagi kerusi yang dimenangi sebelum ini.

“Prinsip kita di Selangor dengan Muafakat Nasional (MN) ialah kalau yang menang kekal, misalnya kalau kerusi itu PN punya, kita tidak ada halangan.

“Tapi tidak boleh ambil kerusi yang BN punya itu (sebelum lompat) itu saja, tapi saya mengharapkan supaya agihan kerusi akan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada pemberita di Sawah Sempadan, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis pelancaran Pengagihan Benih Padi Sah, sesi libat urus serta menziarahi peladang-peladang serta pemain industri bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), di sini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dr Anis Mahmud.

Dalam pada itu, Noh juga mengesahkan bahawa urusan pengagihan kerusi di antara Pas dan UMNO dalam MN Selangor telahpun dimuktamadkan dengan melalui empat siri mesyuarat, sejak bulan lalu.

“Di Selangor, Alhamdulillah kita tengok sudah okay, kita hanya tengok Selangor saja, tapi peringkat pusat akan tengok seluruh negara. Kita serah kepada pusat untuk mengambil kira cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Selangor.

“Kita sudah tiga hingga empat kali mesyuarat sebelum ini, terkini bulan lepas kita mesyuarat. Kita harap agihan kerusi ini dapat diselesaikan dengan baik, kalau semua orang berpuas hati, tidak ada masalah,” katanya.

Mengulas lanjut, MN sebulat suara untuk mengelakkan berlakunya pertandingan tiga [enjuru khususnya pertembungan sesama sendiri dalam PRU15 akan datang.

“Bagi saya yang penting kena cari jalan mengelakkan pertandingan tiga penjuru, biar satu lawan satu sahaja, kalau tiga penjuru akhirnya kita akan berpecah dan apa yang berlaku dalam PRU14 akan berulang balik.

“UMNO dan Pas tidak boleh bertembung, kalau bertembung juga saya rasa sukar untuk kita ambil alih Selangor,” katanya lagi

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2020/12/22/umno-bn-tidak-lepaskan-kerusi-dimenangi-pru14-noh-omar/