Tun M sedia jadi saksi kes Syed Saddiq

Tun M sedia jadi saksi kes Syed Saddiq. Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau bersedia sekiranya dipanggil sebagai saksi berhubung kes pecah amanah dan salah guna dana kempen parti politik melibatkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Namun begitu menurut beliau, keputusan untuk mendakwa Ahli Parlimen Muar itu hari ini, disifatkannya sebagai sesuatu yang menghairankan dan ‘terlalu lambat’ memandangkan Syed Saddiq telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit beberapa kali sebelum ini.

“(Sebelum ini) ada juga orang Armada yang kena panggil dan mereka (isytihar) sokong kerajaan, tak ada masalah (atau) apa-apa berlaku selepas itu, jadi kita hairan kenapa (perkara) ini berlaku (seperti) begitu, kalau dia (Syed Saddiq) buat benda salah, awal-awal lagi charge lah dia, tapi (mereka) tak charge, saya ingat tiga atau empat kali (sudah) dia kena panggil (untuk) disoal (siasat) tetapi tak ada charge,” katanya.

Tun M

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Penyerahan Bakul PERMAI di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, di Kuah pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut mendakwa tindakan yang dilakukan ke atas bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu merupakan taktik ‘pembunuhan’ karakter dalam politik.

Ini kerana katanya, Syed Saddiq menurutnya adalah seorang pemimpin yang memiliki karisma kepimpinan serta mempunyai ramai pengikut khususnya dalam kalangan anak muda.

Terdahulu, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Khamis.
Ahli Parlimen Muar itu membuat pengakuan tidak bersalah dalam prosiding yang bermula pukul 9 pagi tadi.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), menggunakan kapasiti yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana tersebut, di mana tertuduh dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi, parti itu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beerita Penuh : https://suara.tv/23/07/2021/kes-syed-saddiq-saya-sedia-beri-kerjasama-sekiranya-dipanggil-sebagai-saksi-tun-mahathir/

Jika terlepas: Syed Saddiq akan didakwa lagi dengan dua pertuduhan?

COMMENTS

Wordpress (0)