Tun M dan 4 yang lain tegaskan tak pernah keluar parti

Kami seperti nama-nama di hujung surat ini masih Ahli Bersatu.
Surat Pemakluman oleh Kapten (B) Suhaimi bin Yahya atau apa-apa pernyataan oleh individu-individu lain sekalipun ianya datang dari seorang Perdana Menteri tidak boleh mengubah fakta bahawa perlucutan keahlian kami adalah salah di sisi perlembagaan parti dan undang-undang dan berniat jahat. Alasan-alasan kononnya kami telah hilang keahlian kami kerana menduduki kerusi-kerusi tertentu di Parlimen tidak termasuk dalam Perlembagaan Parti.

Kami secara jelas dan tuntas telah pada 18.5.2020 semasa Persidangan Dewan Rakyat memilih untuk berada di blok yang tidak menyokong kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana ianya adalah Kerajaan yang memungkiri mandat rakyat yang telah diberikan kepada Pakatan Harapan melalui PRU-14.

Kami tidak pernah mengisytiharkan keluar daripada Parti mahupun menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di Negara ini. Pilihan kami untuk tidak menyokong Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Perikatan Nasional tidak bermakna keluar Parti. Pengeluaran dari Parti tidak boleh dibuat oleh Setiausaha Kerja melainkan selepas diadakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin dan pihak yang dituduh diberi peluang pertahan diri.

Fasal 6 Perlembagaan Parti Bersatu merujuk kepada Tujuan dan MatlamatParti Bersatu ditubuhkan. Antara lain Fasal 6.7: “memperkasa agend memerangi rasuah dan salahguna kuasa untuk meujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti”. Tidak ada sebarang pertuduhan terhadap kami melakukan apa-apa yang bercanggah dengan agenda parti..

Perlembagaan Parti juga berlandaskan kepada ‘Rule of Law’. Tiada sesiapa pun yang boleh mengatasi undang-undang. Semua ahli Parti adalah berhak kepada Parti ini. Perbuatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan enam lagi Ahli Parlimen lain yang menyatakan keluar daripada Pakatan Harapan jelas melanggar Perlembagaan Parti kerana TIADA KEPUTUSAN Majlis Pimpinan  Tertinggi untuk keluar daripada Pakatan Harapan. Maka, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan enam (6) lagi Ahli Parlimen tersebut telah melanggar etika Parti dan wajar dihadapkan ke Lembaga Disiplin.

Kami menyeru dan menggesa Ahli-Ahli Parti untuk berpegang kuat kepada cogan kata ‘Bersatu, Beramanah, Bermaruah’. Inilah sifat yang perlu ada kepada kita semua. Janganlah benar kepentingan diri membelakangkan sifatsifat yang mulia ini sehingga kita tidak lagi bersatu, tidak lagi beramanah dan tidak lagi bermaruah. Pegang kuatlah kepada janji kita kepada rakyat dan janganlah salah guna kuasa yang mereka beri kepada kita.

Kerajaan yang ada sekarang bukan pilihan Rakyat. Kerajaan yang sah dan hak  adalah Pakatan Harapan. Kembalikanlah mandat rakyat. Janganlah tunduk kepada kepentingan diri seperti yang ditunjuk oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

9. Bersatu milik kami dan Ahli-Ahli Parti yang setia dengan prinsip asal
perjuangan Parti.

Bertarikh 02 Jun 2020
“Kekal Berprinsip, Selamatkan Bersatu”
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad
Pengerusi Bersatu
(No. Ahli: 00000001)

Dato Seri Utama Mukhriz Mahathir
Timbalan Presiden Bersatu
(No. Ahli: 00000003 )

Syed Saddiq bin Syed Rahman
Ketua Armada Bersatu
(No. Ahli: 00000006 )

Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Haji Hamzah
Ketua Bahagian Kubang Pasu Bersatu
(No. Ahli: 00093020 )

Dr. Maszlee bin Malik
Ketua Bahagian Simpang Renggam Bersatu
(No. Ahli: 00109720 )