Saya agak keberatan memberi komen mengenai Pengisytiharan Darurat kerana risau ia akan menggalak satu keinginan untuk saya menjadi Perdana Menteri semula.
Tetapi saya dapati para doktor dan peguam memberi maklumbalas negatif terhadap pengumuman darurat atas alasan COVID19. Termasuklah berkenaan pengurusan pandemik. Oleh itu saya rasa berhak untuk beri komen.
Pandangan saya kuasa darurat tidak perlu dalam menangani pandemik. Kerajaan sudah punyai cukup kuasa dan rakyat patuh dengan segala perintah dan arahan Kerajaan dalam menangani COVID19. Rakyat tidak pun bantah. Kita bukanlah seperti negara barat yang rakyatnya menentang arahan Kerajaan secara terbuka atas alasan hak dan kebebasan diabaikan.
Tetapi Pengisytiharan Darurat telah menghilangkan hak demokrasi rakyat. Perlu diperhatikan di sini –
i. Kerajaan ini bukan dipilih rakyat. Ianya Kerajaan pintu belakang.
ii. Kerajaan ini telah hilang majoriti dan hak untuk memerintah.
iii. Kerajaan minoriti ini telah mendapat kuasa mutlak melalui pengisytiharan darurat.
Ini disebut dalam Artikel 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) yang berbunyi:-
“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa –
a) Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang wujud sebaik sebelum Proklamasi Darurat dikeluarkan pda 11 Januari 2021 yang telah diberikan kuasa eksekutif hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan dan mana-mana orang yang telah diberikan fungsi eksekutif oleh undang-undang hendaklah terus menjalankan fungsi itu;
Tambahan di para (4) 12;
Bagi mengelakkan keraguan, selama tempoh darurat berkuat kuasa, Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan hendaklah mempunyai kesan seolah-olah perkataan “selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar” telah dipotong.
Persidangan Parlimen
14. (1) Bagi tempoh darurat berkuat kuasa –
(a) peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan; dan
(2) Mana-mana mesyuarat Parlimen yang telah dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Ordinan ini tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.
Ini jelas dengan Pengisytiharan Darurat, parlimen yang dipilih rakyat telah hilang peranan dalam sistem pemerintahan negara. Perdana Menteri sekarang sudah punyai kuasa penuh untuk memerintah negara secara sendiri.
Perebutan kuasa dijadikan alasan sebagai punca peningkatan mendadak pandemik COVID19.
Apa yang dapat dilakukan Perdana Menteri dengan kuasa mutlak yang ada untuk selesai krisis kesihatan ini? Perlu diingat bahawa keputusan menukar kerajaan Sabah adalah penyumbang peningkatan kepada empat digit dalam kes baru. Sebelum ini kes baru hanya mencatat satu digit.
Cerdik pandai di dunia inipun hadapi kesukaran untuk bendung peningkatan jumlah kes baru. Mampukah seorang Perdana Menteri berkuasa memenjara orang hingga 10 tahun dan kenakan denda hingga 5 juta ringgit mengurangkan jumlah kes harian.
Kita hargai usaha yang dilakukan Ketua Pengarah Kesihatan dalam mengurus pandemik. Tetapi sekarang jumlah kes terlalu besar.
Masalahnya tidak lagi sama. Pekerja barisan hadapan yang tangani fasa pertama kini perlu hadapi ribuan kes harian. Bilangan kes COVID19 terus meningkat. Kes positif tidak mampu diterima masuk, membuatkan petugas terdedah hingga kepada keluarga dan orang lain.
Pekerja asing dan tempatan hadapi masalah besar kerana mereka ini tinggal di bilik sempit dan tidak dapat kekalkan jarak fizikal apabila bekerja.
Sekatan menyeluruh tidak dapat dilaksana kerana akan jejaskan ekonomi dan orang miskin tidak mampu peroleh wang untuk beli makan.
Wabak ini telah memberi banyak masalah dan bukan mudah untuk diselesai. Dengan lebihan kuasa kepada Perdana Menteri bolehkah masalah ini ditangani?
Nasihat apa yang dia boleh beri kepada Agong untuk kurangkan jumlah mereka yang dijangkiti, yang telah dimasukkan ke hospital, dan yang akan mati.
Namun dengan pengisytiharan darurat, kuasa luar biasa diberi kepada Kerajaan.
Semua yang diputuskan diletak atas nama Yang di-Pertuan Agong. Ia tidak boleh dipersoal. Tidak juga boleh dihadap ke Parlimen kerana sidang telah dibatal.
Secara efektifnya kedaulatan undang-undang telah terabai. Kita diyakinkan ianya berniat baik. Namun kuasa mutlak telah diberi, pelanggaran dan salahguna akan berlaku.
Ke manakah Malaysia. – CD