Tular resepi bihun goreng guna 12 sudu teh gula

Tular resipi bihun yang menggunakan 12 sudu teh gula (bukan sudu KFC). Ramai yang mengeji, ramai juga sudah cuba resipi viral ini. Admin sendiri sebenarnya telah mencuba resipi ini dan ternyata rasanya sedap, secukup rasa.

Antara komen yang membuatkan admin teruja untuk menulis artikel ini adalah berkenaan 12 sudu teh gula yang dirasakan agak banyak dan boleh mendatangkan penyakit.

Tidak dinafikan penggunaan gula dalam masakan adalah untuk menyeimbangkan rasa. Namun, hari ini, ingin dikongsi berkenaan ukuran gula dalam masakan. Jika ada antara pembaca ISB adalah ahli dietetik dan pemakanan, maka mereka sepatutnya tahu berkenaan pengukuran ini.

Dalam ilmu sains berkaitan masakan, 1 sudu teh adalah bersamaan dengan 5 gram gula dan 20 kalori. Jadi jika 12 sudu teh, maka sebenarnya kita menggunakan 60 gram gula dalam masakan bihun goreng, bersamaan 240 kalori tambahan dalam masakan. Nampak banyak kan? Hanya dari gula sahaja.

Namun tidaklah kita makan sebungkus bihun kan? Jadi jika bihun dimasak untuk 6 orang makan, maka kalori dari gula iaitu 240 kalori ini dibahagi kepada 6 iaitu 40 kalori hanya dari gula sahaja.

Belum bihun, belum minyak masak, belum fishball dan sebagainya.

Jadi, admin cuba membandingkan resipi tular ini dengan penggunaan kicap dan sos yang sebenarnya mempunyai gula tersembunyi. Resepi biasa yang menggunakan 5 sudu besar kicap manis, 3 sudu besar sos tiram dan 3 sudu besar sos tomato. Berapa pula gula dalam kicap manis ini?

1 sudu besar adalah dalam 15 ml kicap manis/sos tiram dan sos tomato. Melihat kepada label pemakanan, dianggarkan dalam 15 ml kicap manis terdapat 5g gula jadi sebenarnya resipi bihun goreng yang menggunakan 5 sudu besar kicap manis ada 25g gula.

Dalam sos tomato pula, terdapat 23 g gula/100g saiz hidangan dan jumlah ini sama dengan sos tiram. Konteks saiz bagi sos tiram dan sos tomato ada 1 sudu besar sama dengan 20 g sos.

Jadi jika kita menggunakan 3 sudu besar sos tiram dan sos tomato, maka dianggarkan jumlah gula dalam hidangan adalah 13.8 g gula dalam sos tiram dan 13.8 g gula dalam sos tomato.

Jumlah keseluruhan adalah 52.6 gula dalam masakan bihun goreng versi sos. Jumlah kalori dari bihun goreng versi sos ini adalah 210 kalori hanya dari sos yang akan dikongsi bersama rakan-rakan yang turut sama makan sebungkus bihun goreng berkenaan.

Perlu diingatkan, ini hanya anggaran sahaja, jumlah gula mungkin berbeza mengikut label pemakanan, jenis sos dan kicap yang digunakan dan jumlah kicap dan sos yang digunakan dalam resipi. Jangan pula kecam admin selepas ini.

Jika dilihat secara perbandingan kasar, jumlah kalori tidak lah jauh berbeza. Resipi viral pun ok, resipi guna sos sendiri pun ok. Nak lagi sihat, ha makan mihun rebus aje. Janganlah dikecam resipi orang lain, raikan perbezaan.

Jadi mungkin selepas ini anda boleh cuba dan sukat sendiri berapa sebenarnya gula dalam masakan anda. Jadi, mungkin sebab itu anda sukar untuk turun berat badan kerana terlalu banyak gula tersembunyi dalam masakan anda.

Contoh lain, ayam teriyaki bersama salad. Wau, tiada nasi, nampak sihat. Namun, tahukah anda, sos teriyaki mempunyai gula yang tinggi? Salad anda, jika menggunakan mayonis, turut mempunyai gula, French dressing pun ada gula juga bagi menyeimbangkan rasa. Jadi, mari kita cakna akan gula yang tersembunyi ini.

Berdasarkan kajian terkini, corak pemakanan bagi rakyat Malaysia sejak tahun 1980 hingga 2014 telah melihat transisi dan perubahan. Terdapat peningkatan dalam pengambilan makanan berkarbohidrat tinggi (nasi dan makanan dari gandum seperti roti dan pasta), peningkatan gula, daging dan ikan serta makanan laut.

Prevalens penyakit tidak berjangkit juga meningkat sejak tahun 1980-an sehingga 170%.

Jadi, marilah kita sempena merdeka esok, ayuh kita cuba merdekakan diri dari makanan yang mempunyai gula tinggi.

Sumber :

BACA JUGA : Lafaz taklik jika ambil vaksin, itu kena tanya mufti – Menteri Agama