Tukar kerajaan ada kebaikan, boleh mulakan kembali ekonomi dari sifar – Pakar

Pegawai Menteri

Ekoran khabar angin tentang kemungkinan pertukaran kerajaan sekali lagi dalam waktu terdekat ini, ada pihak menyuarakan kebimbangan akan kesan perubahan tersebut kepada ekonomi negara yang semakin meruncing.

Namun, bagi pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, mungkin ada juga sisi baik daripada pertukaran kerajaan tersebut, iaitu peluang untuk membina semula ekonomi negara daripada sifar.

“Sebab lebih mudah untuk bermula dari kosong (sama ada kerajaan bertukar atau pun tidak).

“(Terpulang) Sama ada Muhyiddin Yassin dan pasukannya berani nak mengemukakan (pendekatan) ini. Contohnya, industri pelancongan, perhotelan, dan pengangkutan udara memang dah habis, hancur. Kalau nak cuba baiki, tak ada guna.

“Kita perlu mula dari kosong (start from scratch), model baru,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, katanya, penutupan ekonomi ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, telah menggencat ekonomi, termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang teruk terjejas.

Barjoyai menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada kadar -5 peratus dalam suku tahun kedua, dan meletakkan harapan pertumbuhan akan pulih pada suku tahun keempat nanti, selepas melalui tempoh paling mencabar.

Katanya, dianggarkan lebih 2 juta orang akan diberhentikan kerja dalam tempoh beberapa minggu akan datang, dan golongan yang kehilangan sumber pendapatan ini sudah pasti akan turut mengharapkan bantuan kerajaan.

“Siapa-siapa yang mengambil alih kerajaan ini, dia akan mengambil alih kerajaan yang dibebani dengan semua keadaan ini. Adakah ini masa yang terbaik untuk dia mengambil alih?

“[…] Tapi, tak tahulah, mungkin Tun (Dr Mahathir Mohamad) atau Anwar (Ibrahim) rasa mungkin inilah masa terbaik kerana, kita berada di bawah, jadi kita boleh pacu ekonomi kita ke hadapan dengan adunan baru,” katanya lagi.

Meskipun Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas kerajaan pusat daripada Pakatan Harapan (PH), majoriti gabungan itu dipertikaikan oleh pembangkang.

Setakat ini, majoriti pentadbiran PN masih belum terbukti. Bagaimanapun, berdasarkan susunan kerusi dalam sidang parlimen sehari pada 18 Mei, PN nampaknya hanya memiliki majoriti dua kerusi.

Sementara itu, Mahathir dan Anwar dikatakan yakin PN sudah tidak lagi mempunyai majoriti untuk menjadi kerajaan dan oleh itu saling bersaing sesama mereka sendiri untuk membentuk gabungan baru.

Jejas rancangan pemulihan negara

Malah khabar angin sejak kebelakangan ini mengatakan bahawa PH sendiri sedang mengatur gerak dan semakin hampir merampas semula kerajaan pusat daripada PN.

Sekiranya kerajaan benar-benar bertukar, Barjoyai menjangkakan kerajaan baru mungkin akan menghentikan segala rancangan ekonomi yang lama, dan membina semula ekonomi dari kosong dengan model baru.

“Jadi, itu boleh menjadi sesuatu yang sangat positif sebenarnya, sebab saya nampak bahawa kerajaan sekarang ini sudah sampai di hujung dinding dah, tak boleh nak bergerak ke hadapan.

“Jadi, positifnya ada kerajaan baru adalah kemungkinan itu (bermula semula dari kosong),” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, sama ada kerajaan bertukar atau pun tidak, bukanlah satu isu yang terlalu besar memandangkan “hero tidak didendang” sebenarnya adalah kakitangan kerajaan yang bekerja siang malam untuk memikirkan rancangan pemulihan negara.

Bagi seorang lagi pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia, PM Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, beliau berpandangan pertukaran kerajaan secara tiba-tiba hanya akan memberi kesan lebih buruk buat ekonomi negara.

Sekiranya berlaku pertukaran kerajaan dalam masa terdekat, katanya, ekonomi negara akan terjejas memandangkan ia pasti turut melibatkan pertukaran menteri, sekaligus menyebabkan inisiatif, polisi dan dasar yang sedang dilakukan untuk membaik pulih ekonomi, tergendala.

Katanya juga, keyakinan pelabur juga akan terjejas ekoran ketidakpastian polisi, sekaligus menjejaskan perancangan awal pelabur, baik yang domestik mahupun dari luar negara.

Namun, tambah Razman, kesan lebih buruk akan dirasai rakyat yang sedang berdepan kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan, lebih-lebih lagi Jabatan Perangkaan Negara meramalkan kemelesetan ekonomi negara akan berlanjutan untuk tempoh empat hingga enam bulan lagi.

“Sudah tentu kita memerlukan kerajaan yang dapat fokus untuk memulihkan ekonomi dan bukan bergelut dengan peralihan kuasa.

“Sekurang-kurangnya kita berharap jika berlakunya peralihan kuasa sekali lagi, ianya dilakukan di dalam landasan yang betul seperti di parlimen dan bukan secara tiba-tiba kerana tumpuan utama pada masa ini ialah ekonomi dan kesejahteraan rakyat,

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/528242