Tubuh parti Aswaja? Ini respon Mokhtar Senik

Tubuh parti Aswaja? Ini respon Mokhtar Senik

Pas menolak cadangan untuk mewujudkan parti Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) bagi tujuan memperjuangkan aliran Asyairah Maturidiyyah di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik berkata, tiada keperluan untuk memperkenal parti itu kerana Pas sejak awal penubuhannya masih kekal berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sudah cukup dengan Pas sebagai parti Islam yang memperjuangkan Islam dan komited dengan dasarnya sejak dahulu hingga sekarang. Sejak awal penubuhan Pas tidak pernah menukar pegangannya selain fahaman Ahlu sunnah wal Jamaah.

“Jika pun ada individu dalam Pas yang mesra Syiah atau Wahabi, itu tidak bermakna menggambarkan pegangan Pas secara keseluruhannya.

“Sebagaimana dalam kelompok Ahlu Sunnah itu ada individu yang menyokong parti sekular. Apakah itu menunjukkan kumpulan mereka ialah kumpulan ahli sunnah sekular?” soalnya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Mokhtar berkata, tindakan mewujudkan parti baharu yang berasaskan agama Islam itu juga berpotensi untuk memecah-belahkan umat Islam.

“Kalau pun kita ada 100 parti yang menyokong Aswaja, kita akan tetap lemah dan semakin lemah. Akhirnya kuasa bukan Islam juga yang akan menguasai politik Malaysia dan mereka akan beransur-ansur memamah faham Aswaja.

“Oleh itu alangkah baik kita kukuhkan Pas dan membawa agenda Aswaja itu bersama Pas yg sudah pun berada dalam kerajaan. Jangan bertindak menghancurkan ikatan kesatuan ummah ini,” katanya.
Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134293/BERITA/Politik/Tidak-perlu-parti-Aswaja-cukup-dengan-Pas