Tragedi Gunung Jerai : Penduduk kecewa sungai masih belum dibersihkan

Tragedi Gunung Jerai : Penduduk kecewa sungai masih belum dibersihkan. Lebih 200 penduduk di Kampung Dusun Manggis di sini kecewa pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih tidak membersihkan Sungai Tandop di kampung itu selepas bencana kepala air pada 18 Ogos lalu.

Mereka mendakwa sungai tersebut dipenuhi dengan sisa-sisa pokok dan bongkah konkrit sehingga menyekat aliran air terutamanya selepas hujan lebat.

Sungai Tandop mengalir sejauh kira-kira 700 meter dari kawasan Peranginan Batu Hampar sebelum berakhir di Sungai Yan di sini.

Penduduk, Khairul Azhar Suhaimi, 31, berkata, sungai tersebut yang terletak di belakang rumahnya sepatutnya dibersihkan segera kerana aliran air telah lama tersekat.

“Keadaan sungai itu semakin cetek kerana dipenuhi sisa pokok dan bongkah konkrit sehingga tidak lagi mampu menampung jumlah air yang banyak terutamanya ketika hujan lebat menyebabkan air melimpah memasuki rumah kami.

Penduduk

“Malah tebing sungai juga didapati telah banyak yang runtuh hingga merisaukan kami penduduk yang tinggal berdekatan sungai itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian kepala air tersebut, seramai enam penduduk terkorban selepas dihanyutkan arus deras dan ditimpa tanah runtuh serta mengakibatkan lebih 2,000 penduduk di kaki Gunung Jerai terjejas.

Suri rumah, Siti Fatimah Baharuddin, 44, berkata, sungai itu juga kini turut dipenuhi pokok kayu yang baru tumbang selepas tebingnya runtuh.

“Sejak kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu, kami belum melihat melihat kakitangan pihak berkuasa tempatan dan JPS membersihkan sungai itu.

“Walaupun banyak laporan telah dibuat kepada pemimpin tempatan meminta sungai itu dibersihkan namun sampai sekarang tidak dilakukan,”‘ katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hadi Hassan, 58, berkata, kerja-kerja membersihkan sungai tersebut sepatutnya dilakukan segera selepas bencana berkenaan untuk mengelakkan berlaku banjir kilat sekiranya hujan lebat

“Tolonglah berbuat sesuatu kerana rumah kami telah dimasuki air beberapa kali selepas kejadian kepala air lalu.

“Jangan nanti apabila berlaku banjir besar atau penduduk terkorban dibawa arus deras baru tindakan membersihkan sungai diambil oleh pihak berkuasa tempatan dan JPS,” katanya.

Sumber : Utusan

COMMENTS

Wordpress (0)