Tindakan libatkan KSN dalam mesyuarat parti politik tidak profesional, tegur MP

Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) semalam selain melibatkan parti-parti komponen membentuk gabungan kerajaan, mesyuarat tersebut juga turut melibatkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Di Twitter, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mempersoalkan mengapa KSN dilibatkan dalam mesyuarat politik kerajaan PN.

“Jangan libatkan penjawat awam dalam mesyuarat politik. Tak profesional,” ciapnya.

Peguam, Lim Wei Jiat juga berpendapat adalah tidak wajar untuk penjawat awam menyertai mesyuarat politik kerana mereka perlu mengekalkan sikap berkecuali (neutral) dan tidak memihak.

Sementara itu, pengguna Twitter @TheChekMad pula meminta Zuki Ali menjelaskan penglibatannya di dalam mesyuarat berkenaan oleh kerana beliau sepatutnya perlu menunjukkan sikap yang tidak memihak.

“@zukiAli_ orang ramai mengharapkan anda untuk tidak berat sebelah. Kami perlukan penjelasan anda dalam mesyuarat ini,” tulisnya.

Terdahulu, menerusi Facebook rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau memaklumkan bahawa mesyuarat yang melibatkan 12 Presiden-presiden parti telah membincangkan berhubung isu ordinan darurat dan pengurusannya.

Beliau berkata, perbincangan selama dua jam secara atas talian turut membincangkan tentang pengurusan pandemik Covid-19 dan pelan immunisasi vaksin yang akan bermula pada Februari 2021.

Turut terlibat dalam mesyuarat, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Dr Norhizan Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan. –MD