Tindakan Adun Bersatu didakwa bakal jadi ‘pencetus’ PRN Johor?

komen

Tindakan Adun Bersatu didakwa bakal jadi ‘pencetus’ PRN Johor. Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang menolak dakwaan dirinya akan menjadi pencetus kepada khabar angin berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa bagaimanapun menyatakan dirinya masih bersama Bersatu dan berpegang kepada pendirian parti itu.

“Sehingga kini, saya masih ahli Bersatu dan masih lagi Ketua Bahagian Bersatu Tebrau. Khabar angin memang kita dengar macam-macam dan saya boleh jadi apa sahaja dalam khabar angin itu.

“Politik ini kita tidak tahu apa jadi akan datang. Hari ini boleh jadi kawan, esok jadi musuh, yang musuh pula boleh jadi kawan. Dalam perlembagaan kita ada kebebasan untuk sertai apa jua parti selagi tiada perubahan dari segi undang-undang, kita bebas untuk sertai mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Mazlan menjadi bualan hangat dan khabar angin apabila beliau didakwa akan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas dan tidak menyokong kerajaan sedia ada.

Mengikut perlembagaan, tindakan itu sekali gus membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan selepas tiada sokongan majoriti daripada pihak kerajaan selepas ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian meninggal dunia.

Tindakan Adun Bersatu didakwa bakal jadi 'pencetus' PRN Johor

DUN Johor kini menyaksikan kerajaan sedia ada dipimpin Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik pembangkang.

Mazlan yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri itu juga turut menolak khabar angin akan berlakunya PRN Johor dalam masa terdekat.

“Setakat ini saya rasa tidak akan berlaku PRN dalam masa terdekat. Kita di Johor, walau ada satu majoriti, keadaannya amat stabil kecuali ada hal luar jangkaan berlaku.

“Namun, setakat ini dari segi keakraban dan juga perkongsian kuasa parti politik yang ada dalam kerajaan, kita tiada masalah untuk kekalkan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, bencana banjir yang masih menjejaskan beberapa daerah di negeri ini juga membataskan berlakunya PRN diadakan dalam masa terdekat.

“Ini kerana ada sekolah di Johor yang akan dijadikan pusat mengundi masih lagi dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS). Jadi, tak mungkin PRN akan dapat dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

BACA JUGA :

Ini apa yang perlu dibuat jika tersilap isi diesel dalam kereta anda
Seekor Ikan Tuna berjaya dilelong dengan harga lebih RM600 ribu
Pesawat dari Beijing ini berlepas 1 Januari dan mendarat 12 Disember

Artikel ini disiarkan pada 08/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)