Timbalan Speaker : Ahmad Maslan minta tanya pemimpin Bersatu

Timbalan Speaker : Ahmad Maslan minta tanya pemimpin Bersatu.Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Bersatu berkecuali daripada menyokongnya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Sebaliknya kata Ahli Parlimen Pontian itu, khabar angin tersebut harus ditanyakan kepada pemimpin Bersatu.

“Sila tanya PPBM (Bersatu), terima kasih,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu.

Sebelum ini, pihak kerajaan mencalonkan Ahmad sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat yang baru bagi menggantikan Azalina Othman Said.

 

Manakala Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Nga Kor Ming sebagai calon timbalan speaker bagi pihak pembangkang.

Ahmad Maslan

Terdahulu, ahli parlimen Bersatu dilaporkan menolak menyokong Ahmad sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat yang seterusnya.

Ini dikatakan menyebabkan undian untuk jawatan itu ditangguhkan, dakwaan yang pertama kali dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Sebelum ini, ahli parlimen Bersatu dipetik Sinar Harian dengan syarat enggan dinamakan mengesahkan dakwaan itu benar.

“Pendirian Bersatu adalah Umno kena memilih semula seorang calon yang tidak berdepan kes pendakwaan di mahkamah dan terbukti integriti.

“Dengan kami berharap calon itu mestilah tiada masalah berurusan dengan ahli-ahli parlimen Bersatu sendiri,” kata salah seorang MP Bersatu, petik laporan itu.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Umno memberitahu bahawa “kluster mahkamah” menjadi alasan untuk Bersatu menolak pencalonan Ahmad.

Bagaimanapun, kata pemimpin Umno yang enggan namanya didedahkan itu, Bersatu sebaliknya menjadikan perkara ini untuk membalas dendam tekanan Umno sebelum ini terhadap pemimpin mereka Muhyiddin Yassin.

Dakwanya keputusan untuk menolak pencalonan Ahmad dibuat oleh Muhyiddin sendiri.

“Bersatu mengambil peluang ini untuk membalas dendam terhadap kumpulan ‘kluster mahkamah’ yang sebelum ini memberi tekanan terhadap kerajaan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/591823

BACA: Pengunjung gagal patuhi SOP, taman rekreasi ditutup 5 hari

COMMENTS

Wordpress (0)