Pertembungan sesama sendiri antara Umno dan PAS di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka bukan pengakhiran hayat Muafakat Nasional yang digagaskan pada akhir 2019, kata seorang timbalan menteri PAS.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, PAS sangat sayang kepada kepada MN dan mahu rakan mereka, Umno turut meletakkan objektif penyatuan ummah sebagai asas bersahabat.

“Kita dah berusaha sedaya upaya. Inilah yang keluar pada PRN Melaka. Walaupun kita sangat sayang kepada MN, kalau boleh kita tak mahu (bertembung), kita dah cukup rasa terkesan dengan pertembungan Umno-PAS selama lebih 60 tahun.
“PRN bukan kata pemutus tidak ada lagi kerjasama Umno-PAS. Tidak. Biasalah Umno pernah berkuasa penuh, pernah jadi orang kuat dalam negara,” katanya kepada media selepas merasmikan CIAST, iaitu pusat rujukan tunggal penyedia latihan pengajar kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Khaled Nordin yang membidas keputusan PAS untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka, sekali gus mencerminkan MN hanya wujud pada nama bukan pada semangat.
Khaled menegaskan PAS seharusnya sedar kewujudan Bersatu adalah untuk menggantikan Umno dan kerana itu Umno tidak memerlukan PAS untuk mendamaikan dua parti berkenaan.
“Seperti Umno juga tidak pernah mengusahakan damai antara PAS dengan Amanah demi kepentingan ummah kerana Umno tahu sejarah keduanya,” katanya dalam catatan di Facebook.
Kata Khaled lagi, PAS tidak boleh mengikat Umno dengan MN dan pada masa sama mendambakan PN. PAS wajar terus dengan PN kerana ia tidak boleh terus keliru dengan apa yang ia kehendaki.
Bagaimanapun, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang menangkis kata-kata Khaled itu dengan menegaskan, PAS sudah pun membuka pintu damai kepada Amanah, namun dengan syarat parti itu perlu meninggalkan DAP.
Katanya, PAS tidak boleh menerima parti yang ekstrem seperti DAP yang tidak menghormati dan hal berkaitan Islam.
“Kita terima Amanah tetapi tinggallah DAP… sebab DAP ekstrem menentang secara agresif bila berkaitan tentang Islam. Jadi, kita kata kat Amanah, boleh sertai kami tapi mesti tinggalkan DAP. MCA dan MIC kita boleh terima sebab mereka hormati agama Islam.
“Tetapi Amanah tak mahu tinggal DAP, kita tak boleh buat apa. Kita sayang semua, bukan takat Umno… kalau berkawan, kena ada tolak ansur, jangan hak kawan pun kita nak ambil, hak kita jangan kedekut. Hak orang jangan kawal semua,” katanya.