Tiga pelajar buat laporan laporan polis sebab mahu tolak vaksin

Dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan membuat laporan polis bagi menyatakan hak mereka untuk menolak suntikan vaksin yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.

Pelajar, Azrell Omar Azri Iskandar, 17, berkata, dia membuat keputusan untuk membuat laporan polis kerana tidak mahu mengambil vaksin atas alasan bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap dirinya.

“Apa yang berlaku terhadap saya selepas menerima vaksin, semuanya atas tanggungan saya sendiri. Justeru itu, saya berhak menolak daripada menjadi bahan eksperimen dengan dicucuk vaksin.

Tiga pelajar buat laporan laporan polis sebab mahu tolak vaksin

“Saya pelajar yang sihat tubuh badan dan tidak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan saya melalui suntikan vaksin ini yang masih lagi di tahap ujian klinikal.

“Saya tak sanggup mempertaruhkan nyawa saya untuk ujian klinikal ini kerana ada pelbagai kaedah mencegah Covid-19 iaitu melalui cara perubatan homeopati holistik, makanan sunnah yang keluarga saya amalkan bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama adik perempuannya, Nur Azreen Omar Iskandar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17, di Balai Polis Taman Melawati, di sini, hari ini.

Azrell Omar serta adiknya ditemani ibu mereka yang juga pelakon, Ellie Suriaty Omar ketika membuat laporan polis berkenaan.

Katanya, dia ada menerima borang daripada gurunya untuk mendapatkan vaksin dua minggu lalu.

“Dalam borang berkenaan, kami (pelajar) diberitahu bahawa tiada siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

“Setakat ini, mereka tidak memaklumkan ada tindakan lanjut akan dikenakan sekiranya tidak mengambil vaksin,” katanya yang memaklumkan semua ahli keluarganya belum mengambil vaksin sehingga kini.

Menurutnya, tiada mana-mana individu memaksanya membuat laporan itu yang dibuat atas kewarasan sendiri selepas menilai maklumat diperolehinya.

“Saya ambil semua maklumat berkaitan vaksin dan Covid-19 daripada Internet termasuk membaca berita dari luar negara selain maklumat daripada ibu saya, ahli keluarga serta kenalan.

“Dari situ saya menilai sendiri maklumat diperoleh dan membuat keputusan untuk menolak disuntik vaksin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat individu berkenaan.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/748834/3-pelajar-buat-laporan-polis-tolak-vaksin

BACA JUGA : Ketua Jabatan digesa kenalpasti kakitangan awam tak daftar vaksin

Artikel ini disiarkan pada 30/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)