Tidak perlu runding kerusi dengan PN, pemimpin Umno zahir rasa lega

Umno

Tidak perlu runding kerusi dengan PN, pemimpin Umno zahir rasa lega.PEMIMPIN Umno menyambut baik keputusan Perikatan Nasional (PN) tidak membabitkan parti Melayu itu dalam rundingan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, keadaan itu lebih memudahkan Umno memandangkan PN tidak mempunyai kekuatan akar umbi seperti mereka.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Razlan Mohd Rafii berkata, sukar untuk mana-mana parti menghadapi pilihan raya tanpa jentera akar umbi yang kuat.

“Perkara besar sebegini seeloknya mengukur baju di badan sendiri, lihat kemampuan akar umbi dan kaji kekuatan sebenar.

“Eloklah Bersatu tak perlu untuk gertak-gertak BN, ikut sahajalah apa yang akan ditentukan oleh Barisan Nasional dan PAS,” kata Razlan.

Beliau juga lega kerana Bersatu yang juga sebahagian komponen PN kini tidak lagi boleh menuntut mana-mana kerusi daripada Umno.

“Perbincangan kerusi ini bukan hanya sekali, ia adalah tindakan berterusan dan perkara biasa, bukan bincang dan terus buat keputusan,” katanya.

Razlan juga gembira kerana Bersatu tidak lagi dapat terus menguasai Umno yang lebih besar dan berpengaruh.

perlu

“Hari ini sudah berbeza, Bersatu pun sedar mereka bukan lagi parti yang boleh menentukan apa kehendak mereka.

“Strategi yang mahu dilihat mereka adalah parti yang lebih besar daripada parti lain juga sudah tidak boleh digunakan.

“Kita sudah melalui zaman minoriti cuba menguasai majoriti, parti yang kecil cuba jadi abang besar untuk menentukan segalanya, ia tidak berkesan untuk kestabilan negara dan keyakinan rakyat.”

Seorang lagi pemimpin Umno juga melahirkan rasa syukur kerana Umno tidak lagi perlu mendukung biawak hidup melalui rundingan dengan PN.

Beliau yang tidak mahu identitinya dikenali berkata, kerjasama Umno dengan PN ibarat membunuh diri kerana gabungan itu tiada kekuatan akar umbi.

“Alhamdulillah… di akar umbi, kerjasama tak akan menjadi. Buat apa nak pikul biawak hidup PN itu, mereka tiada kekuatan,” katanya.

Beliau juga berkata, tiada alasan untuk Umno mengadakan rundingan dengan PN memandangkan kerajaan yang dipimpin pengerusinya Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah berkubur.

“PN ini apa kejayaannya? Hakikatnya kerajaan PN sudah tumbang kerana perdana menteri sekarang dari Umno.

“Jadi kalau PN tak nak bersama Umno tidak mengapa, Umno pun bukan ahli PN,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman PN untuk memulakan rundingan kerusi antara parti komponen mereka tanpa membabitkan Umno.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah itu diambil kerana Umno tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada mahu berunding untuk agihan kerusi.

Oleh itu, PN akan memulakan rundingan kerusi antara lima parti komponen mereka – Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Bagi Semenanjung, rundingan agihan kerusi hanya membabitkan Bersatu, PAS dan Gerakan sahaja.

Mengulas pengumuman itu, Exco Pemuda Umno Bastien Onn pula berpendapat kenyataan Muhyiddin berkaitan rundingan kerusi pada waktu ini terlalu awal.

Pengumuman itu mampu menimbulkan keresahan kepada parti masing-masing dan sebarang berisiko meretakkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang hanya mempunyai majoriti tipis.

Ketua Pemuda Umno Segamat itu juga hairan kerana isu agihan kerusi tidak pula dibangkitkan Muhyiddin sewaktu Bersatu masih menerajui kerajaan.

“Terlalu awal bincang soal calon dan kerjasama PRU15. Kenyataan Muhyiddin berkenaan kerusi hanya menimbulkan resah di kalangan pemimpin.

“Seolah-olah kerajaan ini seperti dah tak sehaluan walhal masa beliau dulu (menjadi perdana menteri) beliau tak nak kita cakap soal ini pun.

“Kena ingat, kerajaan tak boleh tukar sampai Jun tahun depan,” kata Bastien.

Beliau berkata, Umno juga sudah bersedia memasuki gelanggang PRU15 disebabkan pemimpin parti sudah melalui proses pembersihan.

“Umnolah parti yang sedang membersihkan nama dan sedia untuk menjadi dominan seperti sebelum PRU13.

“Mana-mana pemimpin yang tak mahu dan tak mampu bawa Umno mendominasi politik tanah air, mereka tiada tempat di hati Umno,” katanya mengulas kes mahkamah dihadapi beberapa pemimpinnya.

Seorang anggota MKT Umno Zahidi Zainul Abidin pula masih berharap Umno dapat terus mengadakan rundingan antara 10 hingga 15 kerusi dengan PN.

Ahli Parlimen Padang Besar itu berpendapat, usaha itu tidak dapat dilakukan sekiranya Ahmad Zahid Hamidi masih terus menguasai Umno.

“Kita boleh bincang 10 hingga 15 kerusi dengan Muhyiddin, tapi kalau Zahid masih presiden dia nak lawan semua, tak kasi peluang langsung pasal marah dengan Muhyiddin.

“Kalau Zahid masih presiden dia akan lawan semua. Kalau Ismail Sabri ini boleh bagi 10 hingga 15 kerusi. Zahid memang tutup perbincangan langsung, dia nak lawan di semua kerusi,” katanya.

Zahid semalam menegaskan keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 dan menolak gabungan dengan PN sudah muktamad.

Beliau juga berkata, sokongan ke atas kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail ketika ini hanyalah sementara sebelum Parlimen dibubarkan untuk PRU15.
Sumber:

BACA: “Ada juga yang bangang”, kata Faizal

COMMENTS

Wordpress (2)
  • comment-avatar

    […] BACA: Tidak perlu runding kerusi dengan PN, pemimpin Umno zahir rasa lega […]

  • comment-avatar

    […] BACA: Tidak perlu runding kerusi dengan PN, pemimpin Umno zahir rasa lega […]