Tiada kumpulan umat sekuat Umno dan Pas, kata Nik Abduh

umat

Tiada kumpulan umat sekuat Umno dan Pas, kata Nik Abduh.Pas mengakui perpecahan politik umat berpunca dari perbalahan parti itu dengan UMNO yang masing-masing mahu menunjukkan kekuatan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kedua-dua parti itu mempunyai ahli atau umat sama kuat yang tidak dimiliki parti lain.

Justeru, katanya, demi melihat Melayu dan Islam bersatu kembali, beliau telah mewakafkan dirinya untuk penyatuan itu.

“Saya telah wakafkan diri saya untuk penyatuan umat. Walaupun saya ahli Pas tetapi diri saya bukan hanya untuk kesatuan ahli Pas bahkan untuk penyatuan umat seluruhnya.

“Sebagaimana saya bertekad untuk istiqamah dengan perjuangan Pas, saya juga telah memperkasakannya dengan tekad melebarkan penyatuan umat seluruhnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menyatakan perpecahan antara Pas dan UMNO melibatkan pelbagai sektor dan faktor dengan paling ketara sekali ialah akibat politik.

Ujarnya, perpecahan politik itu menjadi punca besar kegagalan dan kekecewaan umat dalam negara.

umat

“Demi sebuah kejayaan yang ingin dicapai, setiap sakit dan penyakit mesti diubati dan dibuang. Membiarkannya terus sakit bukanlah pilihan, malah satu kesalahan yang besar.

“UMNO dan Pas adalah dua parti Melayu, Islam yang kuat. Tiada kumpulan umat sekuat kedua-duanya. Bekalan kedua-duanya amat banyak dan pahlawan mereka amat ramai. Tiada kumpulan lain seumpama mereka berdua.

“Pas kalah berkali-kali, tetapi kuatnya semakin berkali-kali juga. UMNO untuk pertama kali jatuh besar pada PRU14 lepas, tetapi mampu kembali berkuasa hanya selepas tiga tahun. Ia contoh mudah kekuatan besar yang dimiliki kedua-duanya. Tiada seperti kedua-duanya,” katanya.

Namun, katanya, malang sekali kedua-dua parti itu saling beradu kekuatan bukan menyatukan kekuatan.

“Maka, akibat buruknya adalah besar. Ia adalah perpecahan umat yang besar. Ia telah membantutkan projek besar umat yang dimestikan untuk berjaya.

“Oleh itu, sesuatu mesti dilakukan. Penawar mesti diusahakan untuknya. Keruh mesti dibuang. Jernih mesti dikembalikan. Tali Allah mesti dihulurkan. Racun-racun syaitani pula mesti dinyahkan.

“Saya akui, ini kerja yang besar, tetapi ia adalah jihad yang besar. Sebuah perjalanan yang memakan masa dan tenaga, namun perlukan kejelasan, keyakinan, keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan,” kata beliau.

Nik Abduh berkata, walau apa alasan diberikan UMNO dan Pas, keputusan untuk kekal berpecah dan berbalah adalah seburuk-buruk jawapan kepada penyelesaian.

Kata beliau, projek penyatuan umat yang besar itu hakikatnya menuntut kehadiran pahlawan daripada UMNO dan Pas kerana mereka adalah barisan yang memiliki kejelasan, keyakinan, keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan.

Menurutnya, tanpa pahlawan yang hadir daripada kedua-dua pihak, usaha menjadi perlahan dan ditakuti kegendalaannya.

“Saya bersedia mengabdikan diri untuk projek kesatuan UMNO dan Pas. Penyatuan ini bukan untuk menjadikannya satu parti, tetapi sekurang-kurangnya menjadi satu kekuatan.

“Bukan juga menjadi sama kuat, tetapi saling kuat menguat antara kedua-duanya. Itu sudah amat mencukupi. Ia sudah menepati maksud kesatuan umat yang didambakan.

“Sudah pasti saya kerdil, tetapi saya sudah berbelas tahun memulakannya. Saya bermula dengan keyakinan yang kecil dan ketakutan yang besar, lama kelamaan ia bertukar menjadi keyakinan yang besar dan ketakutan yang kecil,” ujarnya.

Beliau juga ada berjumpa dan berbincang dengan kedua-dua pemimpin UMNO dan Pas termasuk mufti serta tok guru, cendekiawan dan profesional untuk mendapatkan pandangan dan nasihat.

“Mulanya saya dimarahi dan dicemuh, namun saya mengecapi rasa keterpujian daripada dalam diri. Ia satu perasaan yang hebat. Begitulah masa memberikan saya keyakinan dan kekuatan. Masa itu senjata yang ajaib sekali.

“Ini kerana Pas dan UMNO amat lama berkelahi. Mengajak kepada perdamaian seperti mengajak kepada perkelahian ke sekian kalinya. Kelahi bertambah lagi kelahinya. Begitulah mata memandang serong dan tajam,” katanya.

Berita Penuh :https://malaysiagazette.com/2021/09/18/nik-abduh-wakafkan-diri-demi-penyatuan-umno-pas/

BACA: Panas !!! Pelantikan Timb Speaker : Ahli Parlimen Bersatu didakwa berkecuali, akhirnya Peja buka mulut

COMMENTS

Wordpress (0)