Tiada keperluan uji keabsahan PM, kata Peguam Negara

Tiada keperluan uji keabsahan PM, kata Peguam Negara. Pelantikan perdana menteri baharu tidak memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Beliau berkata, sekiranya pelantikan perdana menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada baginda, ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain.

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Pada 18 Ogos lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perdana menteri yang dilantik menerusi surat akuan ahli Dewan Rakyat hendaklah “secepat mungkin” mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Istana Negara dalam kenyataan pada tarikh demikian, berkata langkah itu bertujuan mengabsahkan individu berkenaan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Katanya, surat akuan 220 ahli Dewan Rakyat hanya bertujuan membantu baginda membuat keputusan melantik seorang Ahli Parlimen yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Idrus berkata Agong telah berkenan melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan, selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada Seri Paduka Baginda melantik perdana menteri harus dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mana perdana menteri hendaklah dilantik daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Ternyata sekali pelantikan perdana menteri merupakan tanggungjawab perlembagaan (constitutional responsibility) dan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah diputuskan oleh Seri Paduka Baginda sendiri.

Idrus berkata, bagi tujuan itu Agong telah mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 apabila semua 220 ahli Dewan Rakyat diminta menyatakan nama ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh mereka untuk menjadi perdana menteri menerusi akuan berkanun (SD).

“Seterusnya, nama bakal perdana menteri daripada semua 220 ahli Dewan Rakyat telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara, masing-masing menerusi surat akuan pada 18 Ogos 2021,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada penerimaan surat akuan berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap seramai 114 ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan untuk dilantik sebagai perdana menteri iaitu Ismail, Ahli Parlimen Bera.

“Seterusnya, pada 21 Ogos 2021 juga perdana menteri baharu telah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah taat setia dan juga sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka Baginda menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berita Penuh :https://www.msn.com/en-my/news/berita/tiada-keperluan-absah-lantikan-pm-di-parlimen-kata-peguam-negara/ar-AAO5Dhk

keperluan

BACA: Panas !!! Kes wanita curi tabung masjid, akhirnya pengurusan masjid cerita apa sebenarnya terjadi