Terminal feri Kuala Perlis diserbu pelancong mahu ke Langkawi

Terminal

Terminal feri Kuala Perlis diserbu pelancong mahu ke Langkawi.Polis memperketatkan pemantauan di Terminal Feri Kuala Perlis di sini, susulan pertambahan kemasukan pelancong untuk ke Langkawi menggunakan terminal feri itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah sehingga hujung bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, sempena cuti umum Hari Malaysia serta cuti sekolah menyebabkan Kuala Perlis menjadi alternatif laluan laut bagi pelancong untuk ke Langkawi.

Katanya, berdasarkan penjualan tiket feri ke Langkawi di Terminal Feri Kuala Perlis secara purata antara 200 hingga 300 tiket dijual untuk tiga perjalanan feri yang bermula pada 9.30 pagi, 10.30 pagi dan 11.30 pagi.

“Ia dijangka meningkat memandangkan cuti sekolah dan kita sudah bersiap sedia untuk mengambil tindakan memastikan pelancong mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi penugasan anggota polis serta pematuhan SOP di Terminal Feri Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati secara keseluruhannya keadaan di terminal feri itu terkawal.

Terminal

Namun katanya, pada awalnya terdapat sedikit masalah kerana orang ramai yang tiba di terminal itu belum membuat saringan Covid-19 seperti yang disarankan kerajaan menyebabkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mengambil masa untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya difahamkan oleh KKM, saringan di terminal ini hanya dijalankan pada hari ini sahaja kepada pelancong yang mahu ke Langkawi.

“Mulai esok, pelancong yang tidak mempunyai keputusan saringan Covid-19, tidak dibenarkan untuk menaiki feri ke Langkawi dan perlu melakukan pemeriksaan sendiri sebelum menyerahkan keputusan pemeriksaan kepada pihak berkuasa.

“Langkah ini dapat mengelak berlaku kesesakan di terminal feri ini dan tiada kemungkinan untuk mereka yang belum menepati syarat merentas negeri atau melancong ke Langkawi dapat lolos kerana kita mempunyai tiga hingga empat lapisan kawalan yang perlu dilalui pelancong sebelum menaiki feri,” katanya.

Sementara itu tinjauan di Terminal Feri Kuala Perlis pada pagi ini mendapati pelancong terutamanya dari luar Perlis mulai berkumpul seawal jam 7 pagi dan mereka yang belum menjalani saringan Covid-19 dikehendaki melakukan ujian berkenaan sambil diawasi oleh petugas KKM yang membuka kaunter pemeriksaan di terminal itu.

Seorang guru, Hidayati Husna Suhaizil, 26, dari Puchong, Selangor berkata, dia dan keluarganya sudah lama merancang untuk melancong ke Langkawi memandangkan seluruh ahli keluarganya sudah pun melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

“Syukurlah berpeluang untuk melancong ke Langkawi kerana kami pun sudah alam duduk di rumah tidak dapat ke mana dan apabila rancangan gelembung pelancongan Langkawi ini diumumkan saya terus mengajak ahli keluarga untuk bercuti di Langkawi ini.

“Kami bertolak jam 9.30 malam dan tiba sekitar jam 7.30 pagi hari ini dan ramai juga masa sampai sini dan kami pun terus melakukan ujian pemeriksaan Covid-19 seperti yang dibuka pada hari ini dan harapnya langkah ini dapat diteruskan di tempat lain.

Seorang peniaga, Ilyasaq Taib, 42, dari Kulim mengambil kesempatan cuti sekolah ini untuk membawa keluarganya bercuti di selepas kerajaan membuka semula sektor pelancongan di Langkawi.

“Walaupun sudah lama kami semua tidak ke mana-mana, peluang melancong ke Langkawi ini saya manfaatkan bersama keluarga dan dalam masa sama tetap menitikberatkan pematuhan SOP,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/755526/terminal-feri-kuala-perlis-jadi-pilihan-pelancong-ke-langkawi

BACA: Agensi Anti-Doping Dunia kaji nyahsenarai ganja dari dadah terlarang untuk atlet

COMMENTS

Wordpress (0)