Terlalu awal untuk mengatakan Tun M sudah menyerah kalah

Penganalisis mengingatkan pemerhati jangan anggap Dr Mahathir Mohamad sudah tewas dalam arena politik hanya kerana Pakatan Harapan (PH) menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, terlalu awal untuk mengetepikan bekas perdana menteri itu.

Beliau tidak melihat Mahathir berputus asa dalam usaha mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Muhyiddin Yassin walaupun keputusan terbaru PH memaksanya mencari formula baru.

“Kita tidak boleh ketepikan Mahathir. Hakikatnya dia masih ikon masyarakat Melayu. Tidak mudah untuk menyingkirnya.

“Keputusan PH untuk tidak menyokongnya tidak bermaksud dia tidak boleh tubuh gabungan baru. Tetapi ia agak sukar,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Mahathir kehilangan kuasa rundingan dan akan meneliti pilihan yang ada sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Dia akan tunggu dan lihat untuk menilai pilihan yang paling memberi manfaat politik,” katanya.

Namun, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat, penolakan PH itu mungkin boleh menamatkan permainan politik Mahathir.

Berbanding sebelum pilihan raya umum 2018, beliau nampak seperti sudah hilang pengaruh politik dan masa depannya kelihatan suram.

Azmi percaya Mahathir tidak akan kembali ke PPBM kerana parti itu kini bekerjasama dengan Umno.

“Kerjasama Mahathir dan Umno tidak akan berlaku,” katanya.

Katanya, lebih baik Mahathir melepaskan kerusi Parlimen Langkawi sekiranya pilihan raya mengejut diadakan.

“Sokongan PH terhadap Anwar sebagai calon perdana menteri bererti Mahathir akan kehilangan sokongan PH. Oleh itu, saya tidak nampak bagaimana Mahathir akan boleh pertahankan Langkawi,” katanya.

Azman pula berkata Mahathir mungkin akan pertahankan kerusinya dan akan bersara daripada politik hanya jika dia peroleh “kepuasan politik”.

“Sebagai contoh, jika kedudukan anaknya Mukhriz dalam politik benar-benar terjamin, maka dia mungkin akan berundur dengan tenang.

Chin turut meramalkan Mahathir akan mempertahankan kerusi Langkawi kerana beliau perlu menjadi seorang ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri.

Berita penuh:

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/10/jangan-anggap-dr-m-sudah-tewas-kata-penganalisis/