Zahid tampil beri penjelasan keputusan Umno.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga semua berada dalam lindungan dan inayah Yang Maha Esa Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
“Ya Allah berilah kepada kami di dunia kebaikan dan di akhirat kebaikan. Serta peliharalah kami dari siksa api neraka.”
Seperti semua sedia maklum UMNO telah membuat ketetapan yang amat penting semalam.
Amat penting bagi melindungi kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan institusi diraja negara ini.
Amat mustahak demi memelihara keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Iaitu keputusan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN selepas Perdana Menterinya enggan letak jawatan.
Pokoknya UMNO sama sekali tidak dapat berkompromi dengan perbuatan kerajaan PN yang menderhaka.
Sanggup membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda dan menyanggah titah Majlis Raja-Raja Pemerintah.
Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan mempertahankan Kedaulatan Raja-Raja dan Perlembagaan Negara?.
Sanggupkah kita menggadaikan Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang Negara?.
Gara-gara sebahagian pimpinan kerajaan ini khuatirkan tentang kedudukan dan jawatan mereka semata-mata.
Keputusan UMNO petang semalam juga amat kritikal demi menyelamatkan rakyat dan negara.
Amat mustahak dalam menterjemah kehendak anggota masyarakat dan akar umbi parti.
Sebuah ketetapan yang tegas oleh UMNO yang perlu dilakukan demi kemaslahatan yang besar.
UMNO telah memberi peluang dan ruang secukupnya kepada kerajaan PN sejak negara dilanda pandemik.
Bagaimanapun kerajaan ini berterusan gagal membendung penularan Covid-19 dan melindungi rakyat.
Pelbagai pandangan serta cadangan dilontarkan oleh UMNO dan rakyat tidak dipedulikan.
Natijahnya hampir 10,000 nyawa tidak bersalah telah terkorban. Kes jangkitan harian menghampiri 20,000.
Sebanyak 1.2 juta keseluruhan kes jangkitan Covid-19 telah dilaporkan dengan lebih 200,000 kes aktif.
Lebih 1,000 kini di ICU dengan separuh daripada mereka terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Selepas keadaan kian meruncing kerajaan PN seolah-olah cuba ‘menggula-gulakan’ rakyat.
Mengumumkan beberapa pendekatan populis tetapi ibarat ‘racun’ yang boleh memudaratkan.
UMNO tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan keadaan ini. Rakyat perlukan pembelaan.
Maka “enough is enough”. UMNO telah mengambil pendirian. Kepada Allah S.W.T kita berserah.
Sumber :