Sebuah kenderaan membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari pekarangan kediamannya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara pada pukul 10.48 pagi.
Kenderaan itu dipercayai membawa Perdana Menteri ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini susulan kemelut politik negara.
Bagaimanapun, pada kebiasaannya Muhyiddin akan melakukan sesi menghadap Seri Paduka bagi mempersembahkan kertas Kabinet sebelum mengadakan Mesyuarat Kabinet pada setiap hari Rabu.
Semalam, UMNO memilih mengambil berpendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO yang berlangsung secara maya.
Katanya, MT UMNO sepakat menarik sokongan kepada PN dan Muhyiddin.
[KEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara pada pukul 10.54 pagi, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kenderaan membawa beliau yang diiringi polis pengiring, dilihat memasuki pintu satu Istana Negara.
Selesai menghadap, Perdana Menteri dikhabarkan akan ke pejabatnya di Putrajaya bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Sehingga pukul 11 pagi ini para petugas media dan anggota polis memenuhi pekarangan Istana Negara bagi memantau perkembangan terkini isu politik negara.
Berita penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/video-muhyiddin-tiba-di-istana-negara/
BACA JUGA : Panas !!! MP Pas dakwa ada perkembangan ‘mengejutkan’ bakal berlaku