Teraju dedah hanya 27 peratus graduan Bumiputera dapat kerja pada 2020

Hanya kira-kira 73,400 atau 27 peratus graduan Bumiputera dapat memenuhi peluang pekerjaan sektor swasta yang ditawarkan pada tahun 2020 berbanding 103,900 atau 40 peratus pada 2019, menurut Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Kajian Teraju mendapati penurunan peluang pekerjaan kepada graduan Bumiputera berkenaan antaranya berpunca daripada pengurangan peluang pekerjaan di pasaran sebanyak 29.3 peratus bagi kedua-dua tahun berkenaan.

“Sekiranya dilihat secara teliti, pengurangan peluang pekerjaan disebabkan negara sedang dilanda pandemik Covid-19,” menurut dapatan kajian Teraju bertajuk ‘Kesan Pandemik Terhadap Peluang Pekerjaan Di Kalangan Graduan Bumiputera’ yang dijalankan menerusi Unit Penyelidikan, Analitik dan Teknologi Maklumat (RAIT) agensi itu.

Teraju dedah hanya 27 peratus graduan Bumiputera dapat kerja pada 2020

Dapatan kajian TERAJU itu diperolehi melalui dua kaedah iaitu, mengenal pasti saiz graduan Bumiputera di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dengan membuat perbandingan antara tahun serta komposisi kaum bagi melihat impak sebenar wabak Covid-19 kepada graduan dihasilkan pada ketika ini.

Kaedah kedua pula, agensi itu mengadakan kajian dengan meneliti ketidaksamaan dalam peluang pekerjaan dalam tahun sama dan membandingkannya dengan bilangan graduan Bumiputera dihasilkan pada tempoh sama.

Kajian itu menggunakan sumber sekunder membabitkan laporan kaji selidik kadar pengangguran, statistik Bumiputera 2020 dan statistik pekerjaan suku keempat 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia.

Menurut kajian berkenaan, berdasarkan data dan maklumat, secara keseluruhannya, mendapati saiz graduan Bumiputera dihasilkan meningkat seramai 259,659 iaitu 84 peratus, diikuti kaum Cina seramai 35,904 (12 peratus) dan kaum India seramai 12,055 (empat peratus) sepanjang 2017 sehingga 2020.

Kajian Teraju yang memetik sumber Statistik Graduan Jabatan Statistik Malaysia 2020 pula mendapati jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya dan 70 peratus daripadanya adalah graduan Bumiputera.

Kajian berkenaan juga mendapati sebahagian besar jumlah graduan menganggur berkenaan adalah terdiri daripada kumpulan B40 dan M40 yang bergantung kepada gaji dan upah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

“Mengambil kira keadaan ini, graduan institusi pendidikan terutamanya bagi Bumiputera, sangat terdedah kepada kejutan ekonomi negatif seperti pengangguran, disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan sebagainya.

“Ini kerana jurang agihan pendapatan Bumiputera adalah besar dan sumber kewangan mereka yang terhad,” menurut kajian itu.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/758222/hanya-27-peratus-graduan-bumiputera-peroleh-pekerjaan-pada-2020

BACA JUGA : Panas !!! Siti Mariah dedah punca sebenar masjid masih tak dapat dibuka sepenuhnya di Selangor

COMMENTS

Wordpress (0)