Tangguh ibadah umrah, BUMITRA kemuka 5 cadangan kepada kerajaan

Tangguh ibadah umrah, BUMITRA kemuka 5 cadangan kepada kerajaan. Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) mengemukakan lima cadangan kepada Kementerian Kesihatan supaya menarik balik keputusan penangguhan ibadat umrah yang diumumkan kelmarin.

Presidennya, Harun K C Ahmmu, berkata selain kerugian besar yang ditampung pengendali umrah, keputusan mengejut itu turut mengakibatkan beban kewangan yang besar kepada jemaah umrah.

Katanya, setiap perjalanan umrah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerajaan termasuklah suntikan vaksin serta dos penggalak.

Katanya, lima cadangan yang dikemukakan mereka adalah adalah koordinasi dan kerjasama yang selaras antara agensi-agensi kerajaan dalam membantu ketibaan umrah yang perlu diperbaiki.

Kedua, beliau berkata, menambah baik saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengelakkan kesesakan di kaunter saringan.

“Cadangan ini adalah untuk pengendalian khusus kepada jemaah umrah warga emas.

 

“Ketiga, BUMITRA turut memberi cadangan mengenai caj pembayaran pusat kuarantin hotel iaitu memohon kadar RM150 sehari bagi setiap jemaah umrah.

“Ia bagi meringankan beban jemaah umrah kerana kos yang ditetapkan pada masa ini amatlah tinggi berbanding kos yang ditetapkan kerajaan, sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Cadangan keempat pula, Harun berkata adalah meminta kerajaan meneliti kos kerugian yang ditanggung oleh jemaah umrah atas penangguhan ibadat berkenaan apabila syarikat tidak akan memulangkan tambang penerbangan.

“Syarikat penerbangan ini hanya memberi peluang kepada agensi pelancongan membuat tempahan semula,” katanya.

 Tangguh ibadah umrah, BUMITRA kemuka 5 cadangan kepada kerajaan

Harun berkata, cadangan kelima adalah memohon kajian semula oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan KKM mengenai implikasi yang diterima oleh jemaah.

“Ia termasuk kesan kepada pengendali umrah kerana keputusan ini dibuat secara serta merta,” katanya.

Kata Harun, antara kerugian yang dikenal pasti ekoran keputusan penangguhan itu adalah kos pembatalan atau penangguhan tiket penerbangan, hotel penginapan dan caj pembayaran visa umrah kepada muasasah di Arab Saudi.

“Sebahagian besar jemaah umrah yang akan menunaikan ibadat ini adalah mereka yang tertunda akibat penularan pandemik COVID-19 dan penutupan sempadan negara Arab Saudi yang dibuat pada 20 Mac 2020.

“Visa umrah yang dikeluarkan biasanya hanya sebulan sah laku dan sekiranya ditangguhkan dan tidak diberi tempoh masa, maka kita bimbang ia perlu diperbaharui semula dengan kos tambahan kepada jemaah umrah,” katanya.

Menyentuh mengenai kos kuarantin bermula hari ini, ia turut mengakibatkan kos tambahan kepada jemaah memandangkan hotel dan lokasi kuarantin sudah ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ia juga memberi kesan kepada jemaah yang tidak berkemampuan atau cukup kewangan kerana lokasi yang sudah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat BUMITRA, Ab Rahman Mohd Ali, berkata kerugian yang dialami semua pihak dalam tempoh tiga bulan dari Januari hingga Mac ini, ekoran penangguhan umrah adalah mencecah RM210 juta.

“Kos minimum umrah bagi seorang adalah RM6,900 tetapi apabila penangguhan ini berlaku mereka akan berdepan kerugian sekiranya mahu mendapatkan kembali bayaran.

“Hanya 80 peratus dari jumlah bayaran itu akan hilang dan tidak dapat dipulangkan semula. Ini kerana setiap bayaran yang dibuat sudah dijelaskan untuk bayaran tertentu termasuklah penerbangan dan kos di Arab Saudi,” katanya.

BACA JUGA : Ini yang akan berlaku kepada dunia jika ais antartika cair dalam satu malam

Artikel ini disiarkan pada 04/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)