Taman tema Upin dan Ipin berjaya dibuat walaupun Khazanah tolak

Taman tema Upin dan Ipin berjaya dibuat walaupun Khazanah tolak

Taman tema Upin dan Ipin berjaya dibuat walaupun Khazanah tolak. Walaupun Khazanah Nasional menolak ‘lamarannya’ untuk melabur dalam pembinaan Taman Tema Upin dan Ipin, pencipta watak animasi popular itu cekal memastikan projek RM400 juta di Cyberjaya, menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Kerja-kerja pembinaan taman tema antarabangsa itu di tapak 30 ekar di Cyberjaya dijadualkan bermula Januari depan dan dijangka siap pada tahun 2025, kata Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi.

Projek itu adalah hasil inspirasi yang diperolehi daripada lawatan beliau dan timnya ke hampir semua taman tema terkemuka seluruh dunia termasuk Disneyland dan Universal Studios di Amerika Syarikat serta Harry Potter Studios di London.

Walaupun teruja dan yakin Taman Tema Upin dan Ipin bakal menjadi destinasi antarabangsa, Burhanuddin kecewa kerana Khazanah – syarikat pelaburan milik penuh kerajaan – tidak memberi sokongan kepada projek itu apabila dicadangkan pada 2008.

Sebaliknya, Khazanah memilih untuk membayar royalti yang tinggi apabila membawa masuk harta intelek (IP) dari luar negara seperti Lego dan Hello Kitty di Johor, menurut beliau.

Taman tema Upin dan Ipin berjaya dibuat walaupun Khazanah tolak

“Saya kata pada mereka (Khazanah) jika kita bangunkan Taman Tema Upin dan Ipin, kita tak kenakan royalti tinggi, sebab ini harta intelek (IP) milik saya sendiri.

Biar kita sama-sama membangun dan (dengan) keuntungannya nanti kita (boleh) bangunkan tenaga kerja, kita (boleh) buka peluang pekerjaan yang begitu banyak. Tapi (Khazanah) tak percaya,” katanya kepada FMT.

Burhanuddin berkata Khazanah ketika itu lebih cenderung kepada pengusaha taman tema watak animasi yang tidak mempunyai kelangsungan dari segi daya tarikan.

“Hello Kitty tak terkenal pun di Jepun. Dia hanya menjual barangan dan dia tak ada siri (animasi kartun) tv. Saya pergi (taman tema) Sanrio Puroland, Hello Kitty di Tokyo, Jepun, dua jam saya naik teksi, cari tempat itu.

“Pemandu teksi di Tokyo pun tak kenal. Bila saya pergi dengan isteri sekitar jam 3 petang, hanya ada dua famili (di dalam taman tema). Ini yang kita tanya macamana Khazanah boleh ambil dia (Hello Kitty) untuk dibangunkan (taman tema) di sini?,” soalnya.

Beliau turut ‘bingung’ apabila Khazanah memilih melabur jutaan ringgit dalam Taman Tema Legoland.

“Legoland tak ada IP. IP dia batu (bongkah lego) sahaja. Jadi, jika nak bawa karakter lain contoh Star Wars, kena bayar (royalti) lagi pada Disney. Tiket (Legoland) hampir RM200. Siapa yang larat nak pergi?,” tegasnya.

Pada Mac 2019, media melaporkan kerajaan Johor tidak menolak kemungkinan membeli Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia) susulan laporan Khazanah merancang menjual taman tema itu.

Manakala Taman Tema Hello Kitty Town di Iskandar Puteri, Johor, dilaporkan ditutup 31 Dis 2019.

Burhanuddin berkata beliau tidak putus asa apabila Khazanah ‘menolak’ projeknya. Malah usahanya mendapatkan sokongan dan bantuan agensi awam dan kerajaan negeri lain turut buntu.

Namun, tidak lama kemudian, beberapa pihak lain mula menunjukkan minat untuk bersama syarikatnya membangunkan taman tema berkenaan. Tapak untuk projek itu misalnya, diperuntukkan oleh Cyberview Sdn Bhd.

“Siapa yang datang membantu (dari segi kewangan) kita terima. Baru-baru ini MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dah datang (jumpa kita). TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) pun dah datang,” kata beliau tanpa mengulas lanjut.

Upin dan Ipin kini mempunyai 16.1 juta pelanggan di Youtube dan menjadi saluran pertama di Malaysia meraih ‘Diamond Play Button’ dengan lapan bilion jumlah tontonan setakat 2020.

Laman Facebook Upin Ipin Les’ Copaque juga berjaya meraih 15 juta tanda suka (likes).

Justeru, Burhanuddin yakin apabila dibuka, Taman Tema Upin dan Ipin mampu menarik ramai jumlah pengunjung berulang (repeat visitors) dalam jumlah besar yang akan menjadi kunci kejayaan sesuatu taman tema.

“Kita boleh tarik rakyat Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, dan kemungkinan dari India ke Taman Tema Upin dan Ipin. Setiap kali mereka datang, mereka akan menyumbang tukaran mata wang untuk negara. Sektor pelancongan boleh hidup (kembali),” katanya.

Ujar Burhanuddin, Taman Tema Upin dan Ipin akan turut menampilkan siri animasi terbitan Les’ Copaque selain Upin dan Ipin iaitu Pada Zaman Dahulu dan Puteri.

Antara tarikan yang bakal ditawarkan ialah Rumah Opah, taman interaktif Upin dan Ipin, ‘fun park’, Terowong Mistik, Rumah Hijau daripada siri Pada Zaman Dahulu, Taman Maze, pawagam Interaktif 4D dan medan selera yang bertemakan Warung Muthu.

BACA:

MET Malaysia bagi ‘amaran keras’ cuaca di dua daerah ini

Penjual minta rider ganti balik kek yang hancur dikecam, ‘geram kena label kek murah’

Shah Rukh Khan dedah dia hampir dibunuh

CATEGORIES