Taliban akhirnya umum senarai kabinet

Taliban akhirnya mengumumkan pembentukan kerajaan sementara selepas gerakan itu kembali berkuasa dan mewujudkan vakum politik selama tiga minggu di Afghanistan.

Jurucakapnya, Zabihullah Mujahid pada Selasa memaklumkan pelantikan Mullah Mohammad Hassan Akhund sebagai pemangku Perdana Menteri, manakala jawatan timbalannya disandang pengasas bersama kumpulan itu, Mullah Abdul Ghani Baradar dan timbalan kedua, Mawlawi Abdul Salam Hanafi.

Zabihullah turut menamakan Sirajuddin Haqqani yang merupakan anak kepada pengasas Rangkaian Haqqani sebagai Menteri Dalam Negeri; Mullah Mohammad Yaqoob dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan perunding Taliban di Doha, Amir Khan Muttaqi memegang jawatan Menteri Luar.

Taliban akhirnya umum senarai kabinet

Pemimpin Agung Taliban, Mullah Hibatullah Akhundzada mengesahkan barisan Kabinet baharu itu akan segera memulakan tugas masing-masing.

Selain itu, empat individu yang memegang jawatan kanan pernah menjadi tahanan Amerika Syarikat (AS) di penjara Teluk Guantanamo di Cuba dan dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran tahanan antara anggota tentera Amerika, Bowe Bergdahl pada 2014.

Mereka ialah Noorullah Noori yang dilantik sebagai Menteri Sempadan dan Hal Ehwal Puak; Abdul Haq Wasiq sebagai Pengarah Risikan; Khairullah Khair sebagai Menteri Maklumat dan Kebudayaan, manakala Mohammad Fazil Mazloom dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan kepada Mullah Yaqoob.

Difahamkan, kesemuanya merupakan anggota peringkat tertinggi gerakan Taliban dan pernah ditahan ketika fasa awal pendudukan tentera AS dua dekad lalu.

Senarai barisan kabinet itu bagaimanapun tidak membariskan wanita selepas kebimbangan kini semakin meningkat tentang hak golongan tersebut yang mungkin dipinggirkan sama seperti ketika era pemerintahan Taliban pada 1996-2001.

Zabihullah juga memberitahu kerajaan sementara itu akan disertai individu lain dari seluruh negara selepas Taliban berjanji untuk menubuhkan kerajaan inklusif sebelum ini.

“Kami mewakili seluruh rakyat Afghanistan, malah perjuangan kami juga adalah untuk negara ini. Kami bukan hanya mewakili satu puak atau etnik,” katanya.

Beberapa jam selepas pengumuman barisan pemerintahan baharu, Pemimpin Agung Taliban, Mullah Hibatullah Akhundzada mengesahkan kabinet baharu itu akan segera memulakan tugas masing-masing.

“Saya beri jaminan barisan kepimpinan yang diumumkan pihak berkuasa Emiriah Islam Afghanistan akan bekerja keras untuk menegakkan undang-undang Islam dan melindungi kepentingan tertinggi negara, memastikan keamanan di sempadan dan kemakmuran serta pembangunan secara ber-kekalan,” ujarnya.

Gerakan Taliban juga menekankan pemerintahan baharu tersebut tetap akan mempertahankan hak asasi manusia.

“Emiriah Islam Afghanistan akan mengambil langkah serius dan efektif untuk melindungi hak asasi golongan minoriti seperti yang digariskan oleh agama Islam,” kata kenyataan itu lagi.

Beberapa penganalisis bagaimanapun berpendapat barisan baharu kabinet tersebut hanya menyaksikan ‘perubahan yang kecil’.

“Ia tidak inklusif kerana sama seperti sebelum ini dan tiada sebarang kejutan dalam barisan baharu tersebut,” kata pakar Asia Selatan di Woodrow Wilson International Center for Scholars, Michael Kugelman.

Beliau merujuk kepada pengekalan Kementerian Pencegahan Kemungkaran yang bertindak menghukum individu yang gagal mematuhi undang-undang Islam ditetapkan oleh Taliban.

Ketika ini, tampuk pemerintahan baharu Taliban berdepan cabaran untuk menangani beberapa isu utama termasuk krisis kewangan dan bencana kemanusiaan, selain meraih semula kepercayaan rakyat selepas ia berikrar untuk menggunakan pendekatan lebih realistik, sederhana dan bertolak-ansur kali ini.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/160352/GLOBAL/Perubahan-kecil-pentadbiran-baharu-Taliban

BACA JUGA : “Kami akan halang cadangan Timbalan Menteri Pas”, kata ahli parlimen kerajaan

COMMENTS