Takrif ‘berita palsu’ dalam ordinan terlalu umum, kata peguam

Takrif ‘berita palsu’ dalam ordinan terlalu umum, kata peguam

Beberapa peguam menyuarakan keresahan mereka mengenai ordinan baru dalam memerangi “berita palsu” dengan isu utama yang dibangkitkan adalah tafsiran “palsu” itu sendiri.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kata kunci “berita palsu”, seperti yang dinyatakan dalam ordinan tersebut, terlalu umum dan harus dibuktikan sebagai berita palsu di mahkamah.

“Palsu ni adalah suatu perkara yang mana kenyataan palsu ni sepatutnya dibuktikan di mahkamah sama ada palsu dari segi fakta atau tak, tapi kalau ada pendapat yang diberi tak dipersetujui oleh kerajaan, adakah mahkamah akan terima pendapat itu sebagai palsu? Itu adalah pendapat.

“Jadi, biarlah diputuskan bagaimana mahkamah akan tangani isu tersebut,” kata Haniff dalam satu kenyataan.

Haniff berkata mahkamah perlu lebih berhati-hati ketika mempertimbangkan permohonan ex-parte memandangkan individu yang didakwa menyebarkan berita palsu tidak diwakili.

“Jadi mahkamah perlu lebih aktif dan tanya soalan-soalan lebih relevan untuk sahkan kenyataan itu palsu atau tidak.

“Kalau tak, akan ada situasi di mana pihak-pihak yang memohon dapat perintah yang tak berasas,” katanya.

Sehubungan itu, Haniff mempersoal apakah perintah ex-parte akan disahkan oleh inter parte.

“Saya percaya perintah ex-parte sentiasa wujud untuk tempoh tertentu dan perlu kemudian disahkan oleh inter parte,” katanya.

“Dan yang lebih menarik dan bermasalah di sini kalau kerajaan yang pohon perintah ex-parte di situ, maka pihak yang disaman tak oleh buat permohonan untuk membatalkan ex-parte tersebut. Cuma ex-parte individu biasa saja boleh dimohon untuk dibatalkan dalam masa 14 hari,” katanya.

‘Undang-undang sedia ada sudah memadai’

“Ini agak drakonian. Sangat sukar nak berikan komen lanjut mengenai perkara ini, tapi kita akan tunggu dan lihat untuk menilai bagaimana mahkamah guna pakai peruntukan ini,” tambah Haniff.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali turut mengemukakan pendapat yang sama mengenai tafsiran “berita palsu”.

“Istilah berita palsu yang didefinisikan di bawah ordinan itu adalah luas. Siapa yang putuskan? Dan itu juga merangkumi berita, maklumat dan bahan mengenai Pengisytiharan Darurat.

“Pasti akan disalahgunakan,” kata Rafique.

Dia menegaskan peruntukan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengekang berita palsu.

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Semua ini sudah ada dan lebih daripada mencukupi. Sudah ada pelbagai undang-undang untuk menangani perkara ini, “katanya.

Rafique juga menegaskan bahawa ordinan itu akan lebih berkuasa daripada Akta Keterangan 1950, yang disifatkan “cukup membimbangkan”.

Presiden Majlis Peguam Salim Bashir juga menyuarakan perkara yang sama.

“Pandangan awal kami adalah beberapa bahagian dari seksyen ini merendahkan kedaulatan undang-undang dan perbicaraan yang adil. Terutama, Seksyen 10 nampaknya telah membatalkan operasi Akta Keterangan 1950.

“Keperluan bukti sangat penting untuk perbicaraan yang adil apabila fakta atau tuduhan tertentu dibuktikan, sama ada secara lisan atau dokumentari.

Tambahnya, Seksyen 12 Ordinan ini adalah bertentangan dengan peruntukan di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/566257